Sikap positif Mashy NM Aircond jadi perhatian


Hilang penglihatan lepas accident, kisah kecekalan & sikap positif Mashy tular, buat ramai muhasabah diri.
Figura wanita hebat ini menjadi tumpuan di sebuah laman sosial perkongsian video.
Kata-kata positif Masitah Mohd Afandy atau dikenali sebagai Mashy tentang kemalangan dan keadaan diri selepas cedera parah dalam kemalangan pada 21 Mac lalu menyentuh hati ramai.
Siapa sangka wanita manis yang sering menitipkan kata-kata bersemangat itu melalui satu tragedi hingga mengakibatkan kehilangan keupayaan beberapa bahagian tubuh.
Segalanya bermula apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki co-founder NM Aircond Electrical & Cleaning Services itu dirempuh lori 15 tan di Kilometer 193.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Arah Selatan.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, Mashy yang dalam perjalanan dari Sabak Bernam untuk pulang ke Johor Bahru, cedera parah.
Kemalangan dahsyat itu mengorbankan salah seorang staf, Muhammad Quzaimi Izzaudin Mahmod yang turut cedera parah sebelum meninggal dunia.
Menurut Mashy, kenderaan dinaiki tidak berfungsi. System down menyebabkan MPV itu tidak dapat dikawal dan menghentam ke kiri jalan. Ketika itu sistem beg udara (airbag) juga tidak berfungsi.
Ditakdirkan sebuah lori 15 tan tiba-tiba merempuh hingga menyebabkan kenderaan itu remuk teruk.
Susulan kemalangan, Mashy mengalami pelbagai kecederaan termasuk luka pada kepala. Keretakan pada bahagian kiri kepalanya itu terpaksa ditutup menggunakan plat.
Manakala wajahnya tidak sekata yang mana sebelah kanan agak tenggelam susulan kecederaan pada bahagian mata. Secara keseluruhan sembilan plat ditanam pada wajah dan kepala.
Pahanya yang ‘patah tebu’ dan hingga kini masih dalam proses pemulihan. Mashy dijangka perlu mengambil masa sekurang-kurangnya lima bulan sebelum boleh berjalan semula.
Yang paling besar sekali berlaku selepas kemalangan ialah saya kehilangan deria penglihatan. Alhamdulillah telah direzekikan merasai pengalaman menjadi seorang orang kelainan upaya buta.
Hidung masih belum boleh menghidu. Hidung ini adalah hidung implan. Alhamdulillah, ujarnya
Menurut Mashy, kehilangan penglihatan menjadikan deria lain sensitif.
Wanita ini turut meluahkan tentang cetusan rasa mengenai dirinya pasca kemalangan.
Bila tak nampak kita kurang judge orang dan saya bertanya kepada ALLAH.
ALLAH adakah kerana ujian penglihatan ini saya dapat masuk syurga? Kalau ya saya redalah, tutur wanita kecil molek ini.
Berhadapan perubahan baru yang besar kepada kehidupan selepas kemalangan, Mashy bijak beradaptasi dan menyesuaikan diri.
“Saya belajar benda baru. One of the best thing happened is I have story to tell.
“Pengalaman menjadi seorang yang tidak lagi mampu melihat pertama ialah boring, pada awalnya sangat membosankan. Ya lah, buka mata gelap, tutup mata pun gelap.
“Sekarang penglihatan saya lalui ialah buta yang memang total darkness seolah-olah saya tutup mata,” ujarnya melalui perkongsian di laman sosial.

44 hari selepas berdepan kemalangan yang dahsyat, Mashy mula belajar menulis kembali.

Satu perkara yang menjadi kerinduan wanita itu ialah tidak dapat menatap wajah suami tercinta lagi.

“Saya paling rindu nak tengok muka husband. Setiap pagi saya buk mata akan tercari-cari muka suami dan masih tidak berpeluang untuk tengok lagi.
“But I believe one day insya-ALLAH dengan izin-NYA saya boleh menatap kembali wajah suami. Jika tidak di dunia, di sana (akhirat) nanti.
“Saya juga rindu nak tengok muka mak dan team. Look into their eyes and understand their feelings, dengar sharing mereka dan sebagainya ,” ujar Masyi.
Sebagai tulang belakang syarikat, Mashy juga merindui untuk melihat hasil kerja kaki tangannya.
Tidak berputus asa, Mashy menitipkan terima kasih buat rakan-rakan, ahli keluarga, team dan warganet yang sentiasa prihatin terhadap dirinya.
“Alhamdulillah I’m good, I’m doing fine. I can’t wait be back, cuma saya kena akui healing process take times.
“Harapan saya kepada semua agar jangan rasa cabaran dalam kehidupan ini adalah a stop. Pada saya ia adalah new beginning.
“Bercakap dengan teman rapat semalam, saya kata ALLAH sedang bergurau dengan saya kerana ALLAH beri saya satu tempoh masa yang saya happy, saya ketawa boleh melihat wajah saya, bercinta dengan suami, boleh menjalankan perniagaan. Banyak perkara boleh saya buat.
Tutur Masyi, ALLAH menguji dengan ‘mencabut’ penglihatannya untuk melihat sama ada beliau masih positif dan bersangka baik.
“Saya ingin membuktikan, bukan kepada orang lain tetapi kepada ALLAH yang saya sangat bersyukur atas segala kurniaan-NYA atau apa yang telah DIA ambil daripada saya.
“I will be insya-ALLAH the best version of Masitah. Ini bukan pengakhiran, saya melihat bahawa ini adalah ‘level-up’ lazimnya seperti di dalam permainan (game).
“Saya berjanji kepada ALLAH akan bermain dengan sangat baik dan lebih baik.
“Saya berjanji insya-ALLAH tidak diberikan penglihatan tidak akan mengurangkan manfaat yang akan saya berikan kepada lebih ramai orang,” ujar Masyi.
Suri hati Nik Nazri Abidin itu turut berjanji akan terus memberikan inspirasi kepada orang lain.
Sumber dari Sinar Harian

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.