Ulangtahun ke-9 Umar

 


Pada 6 November 2013 jam 4.42 petang, lahirlah seorang putera yang diberi nama Muhammad Ahsan Umar. Sebelum dilahirkan, doktor yang berada dalam Dewan Bersalin agak kelam kabut kerana bacaan oksigen 'drop' dan langsung tiada bacaan. Rupanya itu petanda yang bayi ini ada masalah.

Sebaik dilahirkan, dia tidak menangis dan keseluruhan badan berwarna biru. Staf nurse terus bawa bayi ini ke bilik lain. Selepas itu barulah terdengar suara bayi menangis. Umar segera dibawa naik ke Neonatal Intensive Care Unit (NICU).

Kami yang pertama kali pengalaman menerima cahaya mata tertanya-tanya apa yang terjadi sebenarnya kerana doktor dan jururawat tak cakap apa-apa pun. Beberapa jam selepas itu barulah saya diminta naik ke NICU. Doktor bertugas bertanya mengenai latarbelakang keluarga, sejarah penyakit dan sebagainya. Pada masa itu badan Umar sudah dipenuhi pelbagai wayar dan salur oksigen. Saya diminta mengazankan Umar dari tepi inkubator.

Selepas diperiksa oleh Pakar Kardiologi barulah saya dimaklumkan mengenai masalah dan penyakit sebenar bayi yang baru lahir ini. Mereka cuba menghubungi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) tapi Pakar Jantung tiada pada masa itu, jadi mereka menghubungi Institut Jantung Negara (IJN).

IJN memberi lampu hijau. Saya dan bayi bertolak pada malam itu juga dari HSNZ Kuala Terengganu ke IJN Kuala Lumpur pada jam 2.30 pagi menaiki ambulan dengan diiringi seorang doktor dan seorang jururawat. Ambulan berhenti di Hospital Kemaman jam 5.00 pagi untuk menukar tangki oksigen kerana oksigen hanya mampu bertahan 3 jam lebih.

Kami sampai di IJN pada jam 8.30 pagi. Doktor IJN terus memasukkan belon untuk menstabilkan jantung Umar. Selama 2 minggu Umar berada di IJN sebelum dibenarkan balik ke Terengganu.

Pada 28 November 2013 iaitu pada usia 22 hari, Umar menjalani pembedahan TGA iaitu mengalihkan salur arteri jantung yang terbalik. Syukur Alhamdulillah, pembedahan yang mengambil masa selama 6 jam dari 9.00 pagi sehingga 3.00 petang berjaya tanpa komplikasi serius.

HARI INI genap 9 tahun usia Umar, kami sangat bersyukur kerana dia sudah sihat, aktif bermain bola dan boleh menyertai seni mempertahankan diri Taek Won Do seperti kanak-kanak lain.


Catat Ulasan

0 Ulasan