Inara perlu RM120,000 rawat saluran jantung terbalik
Seorang bayi berusia tiga bulan yang mengalami Transposisi Arteri Besar (TGA) memerlukan bantuan sejumlah RM120,000 untuk pembedahan di Hospital Gleneagles.
Che Nur Ayesha Inara Che Muhamad Azri dari Banting, Selangor itu memerlukan bantuan bagi menjalani pembedahan Suis Arteri untuk meletakkan saluran darah utama di dalam ruang pam yang sesuai selepas mengalami saluran jantung terbalik.
Ibunya, Syafiqah Walmasri, 23, berkata anaknya yang dilahirkan secara normal dan sihat pada awal kelahiran itu hanya menunjukkan masalah jaundis berpanjangan sepanjang tempoh dia berpantang.
Katanya, perubahan anak sulungnya itu mula disedarinya apabila nafas kelihatan laju dan ada tanda kebiruan pada tangan serta kuku Che Nur Ayesha Inara.
Kami terus dapatkan rawatan di Klinik Kesihatan dan Inara (panggilan anak) dirujuk ke Hospital Banting.
"Dalam waktu begitu pantas, oksigen Inara terus menurun sehingga 1 dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang," katanya.
Suri rumah itu berkata, besar harapan dia dan suami yang bekerja sebagai juruteknik kilang untuk melihat Inara dapat membesar seperti kanak-kanak lain.
Katanya, dia yang bergantung sepenuhnya pada pendapatan suaminya, Che Muhammad Azri Che Noordin, berharap komplikasi saluran jantung yang dihadapi anaknya selepas kematian anak pra matang sebelum ini dapat membesar dengan sihat.
"Paling saya tidak dapat lupa apabila pegawai perubatan memaklumkan nadi jantung Inara terhenti 10 minit sewaktu dalam perjalanan ke HTAR dan menyebabkan ambulans terpaksa patah balik ke Hospital Banting untuk tujuan menstabilkan Inara.
"Selepas keadaan Inara stabil, barulah dia dihantar semula ke HTAR dan dimasukkan ke ICU.
"Doktor memaklumkan Inara perlu menjalankan pembedahan Suis Arteri dengan segera. Kami dirujuk ke Hospital Gleneagles untuk pembedahan ini bagi menyelamatkan nyawanya," katanya yang tidak dapat menahan sebak.
Sementara itu, Che Muhammad Azri, 26, berharap untuk melihat anaknya kembali sihat dan membesar bayi lain.
"Inara cukup senang dijaga. Sewaktu di rumah, dia tidak merengek atau kerap terjaga malam. Namun melihat pernafasannya agak laju dan mula ada tanda kebiruan, kami tidak mengambil masa lama untuk mendapatkan rawatan untuknya.
"Sebaik sahaja dimaklumkan keadaan kesihatan Inara, ibu bapa mana yang tidak sedih tetapi kami reda dan perlu kuat untuk anak," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP melalui akaun Maybank 5141-0532-3170 dengan menyatakan nama pesakit.
Bagi sumbangan menggunakan cek ke tabung sama pula, tulis nama pesakit di belakang cek dan hantar ke alamat Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.
Sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP layak mendapat pelepasan cukai.
Tiada ulasan
Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.