Kebaikan dan keburukan bekerja bebas (freelance)


Pekerjaan freelance atau bekerja bebas ialah seseorang yang bekerja sendiri dan tidak terikat dengan mana-mana syarikat. Kebiasaannya, pekerja bebas menawarkan perkhidmatan yang spesifik seperti fotografi, penulisan atau pereka grafik.

Lima kebaikan bekerja bebas

  • Waktu kerja yang fleksibel

Kelebihan pertama bekerja bebas ialah anda boleh bekerja pada bila-bila masa. Ini juga termasuk kebebasan untuk mengatur waktu rehat dan hari cuti.

Pada hari atau waktu yang merasakan kurang produktif atau tidak mempunyai kudrat untuk bekerja, mahu tidur sehingga tengah hari juga dibenarkan. 


Jika ingin mengambil cuti hujung minggu supaya anda boleh bersiar-siar di bandar atau bercuti dengan keluarga, tidak ada sesiapa pun yang boleh menghalang.


Sebagai pekerja bebas, anda sebenarnya boleh bekerja pada waktu yang dirasakan paling produktif dan ia tidak semestinya perlu pada waktu bekerja umum. Sinonim dengan perkataan free  dalam freelance, anda bebas memilih untuk bekerja pada bila-bila masa sahaja.

  • Kawalan ke atas kerja dan klien 

Apabila bekerja di bawah majikan, anda tidak dapat memilih dengan siapa atau kerja apa yang mahu dilakukan. Ini juga bermakna, anda berkemungkinan boleh terjebak dengan pelanggan yang tidak profesional atau biadap. Tetapi, apabila bekerja dengan bebas, anda berhak memilih siapa klien dan pelanggan yang mahu berurusan bersama.

  • Bebas bekerja di mana sahaja

Sama ada di rumah, kedai kopi mahupun di dobi kerana capaian internet yang lebih laju, kebebasan untuk bekerja di mana sahaja yang selesa dan mudah terletak di tangan anda sendiri. 


Apabila bekerja bebas, anda tidak perlu hadir ke pejabat setiap hari dan perlu lapor diri pada awal pagi. Kehidupan ketika bekerja juga tidak terlalu melemaskan kerana tidak terperap dalam pejabat untuk masa yang lama.


Tidak perlu ke pejabat juga bermakna anda tidak perlu memakai pakaian formal setiap hari. Jika bekerja di rumah, tidak ada yang akan memberi teguran terhadap penampilan atau pakaian yang dipakai pada hari tersebut.

  • Anda adalah bos 

Bekerja bebas juga membawa maksud bahawa anda tidak terikat untuk menjawab panggilan sesiapa selain pelanggan. Bekerja sendiri juga dapat mengelakkan anda daripada menjadi mangsa pengurusan mikro. Kebebasan untuk menyelesaikan tugasan atau cara bekerja semestinya nikmat terbesar apabila bekerja sendiri.


Bagi yang kurang gemar diarah untuk melakukan tugasan tertentu, mungkin bekerja bebas sesuai untuk anda. 

  • Keuntungan milik persendirian sepenuhnya

Anda tidak perlu lagi bekerja dengan kadar rata, tidak kira betapa besar projek yang anda siapkan. Kini, pekerja bebas boleh memperuntukkan atau menyimpan semua keuntungan daripada projek dan pelanggan. 


Ini memberi anda kebebasan sama ada menggunakan wang itu untuk membeli kehendak diri atau bagi mengembangkan perniagaan dan penjenamaan. Terpulang kepada diri anda sendiri bagaimana mahu menguruskan dan mengagihkan keuntungan yang diperoleh.


Jika bekerja di bawah majikan atau syarikat, tidak kira betapa besar projek yang diuruskan, pekerja hanya akan dibayar mengikut flat rate iaitu gaji yang biasa dibayar pada bulan-bulan lain. Kemungkinan untuk dibayar gaji bonus itu ada, tetapi ia tidak dijamin.


Lima keburukan bekerja bebas

  • Gaji yang tidak konsisten

Antara risiko yang perlu dihadapi sekiranya bekerja bebas ialah tidak ada gaji setiap bulan yang tetap. Hal ini kerana pulangan wang bergantung kepada beban kerja yang dilakukan. Bagi tugasan yang lebih berat kemungkinan peluang untuk mendapatkan pulangan yang lebih tinggi itu ada.


Namun, sekiranya terpaksa menerima tugasan kecil dan ringan daripada klien, ini bermakna pulangan wang juga kecil dan kurang menguntungkan. 


Oleh kerana gaji bergantung kepada tugasan yang diambil, pendapatan bulanan tidak tetap kerana bukan setiap bulan anda dapat kontrak yang menguntungkan. Berbeza dengan bekerja di bawah majikan, sekiranya tidak ada klien sekalipun gaji tetap akan dibayar.

  • Berisiko untuk tidak mempunyai pendapatan 

Menjadi seorang pekerja bebas juga bermakna anda menghadapi risiko tidak mendapat bayaran. Ini adalah perkara biasa dalam dunia pekerja bebas. 


Punca wujud kemungkinan untuk tidak mendapat bayaran ialah sama ada klien memandang remeh terhadap pekerja bebas lalu mereka ambil mudah dengan melambatkan pembayaran atau anda sendiri yang terlupa untuk menghantar susulan bagi pembayaran. 

  • Sukar mengasingkan masa peribadi dan masa bekerja

Kelebihan bekerja sendiri ialah anda merupakan majikan sendiri. Tetapi kelebihan ini juga menyebabkan sukar untuk menguruskan dan mengasingkan waktu bekerja dan waktu kehidupan peribadi.


Ini bermakna, ada kemungkinannya anda perlu bekerja siang dan malam tanpa rehat untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh klien. Disebabkan kebanyakan masa anda bekerja di rumah, maka waktu berehat juga mungkin anda bertugas.

  • Perlu bekerja keras lebih daripada pekerjaan di pejabat

Anda kini bertanggungjawab mencari semua pelanggan dan projek sendiri. Berbeza dengan bekerja di bawah majikan, setiap projek diserahkan kepada pekerja dan kebanyakan masa pekerja tidak perlu keluar untuk mencari klien sendiri.


Tetapi disebabkan bekerja sendiri, anda adalah satu-satunya orang yang bertanggungjawab ke atas semua perkara bermula dengan mencari klien, menyiapkan tugasan dan menguruskan kewangan. Jadi, ini bermakna pekerja sendiri perlu bekerja lebih keras berbanding pekerja di pejabat. 

  • Tiada faedah daripada majikan 

Faedah kesihatan adalah salah satu keistimewaan yang diperoleh apabila bekerja di bawah syarikat tertentu. Tetapi, dengan bekerja bebas anda tidak dapat menikmati keistimewaan tersebut. Segala pembiayaan bil berkaitan kesihatan perlu ditanggung daripada poket sendiri. 

Selain itu, bekerja bebas juga bermakna anda bekerja sendiri. Maka, tidak ada cuti sakit atau cuti tahunan yang boleh digunakan pada masa-masa terdesak.

Sumber : RELEVAN

 

Catat Ulasan

0 Ulasan