Sekarang bukan masa sesuai tambah hutang tak perlu
Ketidaktentuan ekonomi global yang didorong persekitaran kadar faedah yang tinggi, inflasi yang meningkat dan kelemahan ringgit menyebabkan sekarang bukan masa yang sesuai untuk menambah hutang yang tidak perlu, demikian saranan pakar kewangan.
Penasihat kewangan berlesen dan Pengarah Absorich Sdn Bhd, Dr Adam Zubir, berkata kini bukan masa yang sesuai untuk membuat hutang 'mahu' dan 'baharu', yang merujuk kepada pinjaman untuk menaik taraf kereta, rumah dan sebagainya, sebaliknya lebih wajar supaya simpanan kecemasan dibina semula.
Sehubungan, beliau menasihatkan hutang sedemikian tidak dibuat sekarang dan tahun depan memandangkan keadaan ekonomi global dijangka berdepan kegawatan. Malah, orang ramai perlu mengenal pasti aliran tunai masing-masing bagi mengelak terlebih berbelanja dan terperangkap dalam hutang tidak perlu.
Masa ini adalah sesuai membina semula simpanan. Nasihat saya ialah simpanan yang cukup untuk enam bulan sebagai tabung simpanan kecemasan, terutama ketika ini satu dunia (dijangka) mengharungi kegawatan ekonomi.
Kalau dunia berdepan kegawatan, Malaysia juga akan terkesan walaupun ekonomi Malaysia dilaporkan baik sekarang.
Beliau berkata, simpanan kecemasan untuk tempoh enam bulan mencukupi dalam persekitaran kadar faedah dan inflasi yang tinggi.
Berdasarkan data, masih ramai rakyat di negara ini tidak mempunyai wang simpanan sekurang-kurangnya RM1,000, justeru mempunyai simpanan kecemasan enam bulan dikira luar biasa dan mencukupi.
Dalam menguruskan kewangan ialah kenal pasti dulu masalah kewangan. Ramai yang tidak ambil apa-apa inisiatif kerana tidak tahu mereka ada masalah kewangan.
Mereka ingat adalah biasa untuk mempunyai hutang kad kredit RM10,000, RM20,000. Sebenarnya itu luar biasa. Mereka tidak tahu telah berbelanja lebih daripada pendapatan.
Berdasarkan pemerhatiannya juga, hutang kereta menjadi punca ramai anak muda muflis. Keadaan itu berlaku kerana mereka membeli kereta melebihi kemampuan kewangan yang kadang-kadang dipengaruhi gaya hidup dan kawan.
Hutang kereta punca ramai muflis. Bila salah beli kereta gelap masa depan. Kereta adalah liabiliti. Lebih baik beli kereta murah dulu dan kalau hendak naik taraf boleh dilakukan kemudian ketika kedudukan kewangan stabil dan mantap.
Sumber : Berita Harian