Kenali hobi anak

 



Setisp individu pasti mempunyai hobi untuk melakukan aktiviti yang digemari ketika masa terluang.

Seperti golongan dewasa, kanak-kanak tidak terkecuali untuk memiliki hobi sendiri yang terbentuk sama ada daripada bakat, personaliti diri atau pemerhatian melalui orang di sekelilingnya.

Melalui hobi, kanak-kanak bukan sahaja dapat memperoleh kepuasan sendiri malah berpeluang mengekspresikan diri, mencungkil potensi dan meredakan tekanan.

Antara hobi yang sesuai untuk kanak-kanak termasuk menari, melukis, membaca bermain bola, membaiki alat dan sebagainya.

Kaunselor Kementerian Kesihatan Malaysia, Maznah Ibrahim berkata, hobi dapat memberi ruang kepada kanak-kanak mengekspresikan karakter dan personaliti diri dengan lebih luas.

Katanya, melalui aktiviti yang digemari, ia dapat memberi kepuasan tersendiri kepada kanak-kanak apabila dapat menghasilkan sesuatu di luar jangkaan.

"Di sekolah, kanak-kanak mungkin terikat dengan jadual dan peraturan yang ditetapkan. Bagaimanapun dengan hobi, kanak-kanak lebih fleksibel dan diberi ruang yang sangat luas.

"Sebagai contoh melalui aktiviti memasak, kanak-kanak boleh meneroka perkara baru menerusi hobi berkenaan sekali gus menyerlahkan kreativiti dalam menghasilkan resipi yang unik dan menarik," katanya.

"Kanak-kanak masih mempunyai tanggungjawab hakiki iaitu belajar dan ibu bapa perlu pastikan hobi yang dilakukan tidak melangkaui batas sehingga menjejaskan tumpuan dalam pelajaran.

"Selain itu, hobi yang ekstrem juga perlu diambil kira kerana ia boleh membahayakan keselamatan anak-anak yang masih belum mampu membuat sebarang pertimbangan yang wajar," katanya.

Tambahnya, dalam menangani situasi ini, ibu bapa perlu mengambil pendekatan yang lebih selamat untuk mengelakkan impak terhadap hubungan dengan anak serta dan emosinya supaya tidak terjejas.

"Menghalang terus (hobi) bukanlah pendekatan yang paling sesuai kerana anak mungkin akan memberontak secara senyap atau terbuka. Ibu bapa perlu beri bimbingan dengan memberi batasan tertentu.

"Selain itu, penjelasan terperinci kesan daripada meneruskan hobi itu daripada sudut pandangan dan pengalaman anda sebagai ibu bapa perlu diberikan supaya anak lebih faham.

"Pada masa sama, dengar juga penjelasan daripada perspektif anak dan kaji mengenai hobi itu sebelum membuat sebarang keputusan, maka ia akan seimbang, maklum balas dari kedua pihak" katanya.

Beliau berkata, bagi hobi yang baik, ibu bapa perlu sentiasa memberi sokongan kepada anak-anak dan pada masa sama memberi peringatan tanggungjawabnya sebagai pelajar.

"Minat ini datang daripada hati dan apabila dihalang dan diganggu, ia boleh melukakan hati anak.

"Tidak semestinya hobi yang tidak disukai ibu bapa, tidak baik untuk anak-anak. Oleh itu sentiasa hormati, sokong, bimbing dan pantau hobi anak," katanya.

Sumber dari Harian Metro

Catat Ulasan

0 Ulasan