Sultan Mizan rasmi Jambatan Angkat Kuala Terengganu

 


Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada malam Rabu, 14 September 2022.

Perasmian itu adalah bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Keputeraan baginda.

Turut berkenan berangkat pada upacara itu Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata jambatan ikonik itu telah memberi impak besar kepada pembangunan negeri dan menjadi produk baharu sektor pelancongan di negeri ini.

"Ini terbukti melalui pengiktirafan anugerah Ikon Pelancongan Baharu Terbaik oleh Anugerah Emas Majlis Pelancongan Malaysia 2019.

Sehingga Julai 2022, sejumlah 379,900 pengunjung telah direkodkan melawat jambatan ikonik ini," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri merakamkan penghargaan atas sumbangan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dalam merancang dan melaksanakan projek jambatan berkenaan.

Katanya, kewujudan Jambatan Angkat Kuala Terengganu juga telah memberi peluang ekonomi baharu kepada rakyat tempatan terutama golongan B40.

"Perniagaan kecil seperti reruai jualan dan trak makanan telah dapat diwujudkan di kawasan sekitar yang memberi peluang kepada lebih 100 usahawan baharu," katanya.

Kerja-kerja pembinaan jambatan itu bermula pada Ogos 2014 dan berjaya disiapkan dan seterusnya dibuka untuk kegunaan awam pada Ogos 2019.

Projek dengan kos RM249 juta itu terdiri daripada struktur jambatan sepanjang 838 meter, empat struktur menara serta dua "sky bridge" dan menjadi jambatan pertama di Asia Tenggara dengan reka bentuk seumpama itu.

Sumber dari BERNAMA

Catat Ulasan

0 Ulasan