Senarai makanan berangin

 


Seseorang yang mengalami sakit sendi, ia sering dikaitkan dengan pemakanan diambil seperti sajian 'berangin' yang dilihat menyumbang kepada 'kesakitan' dalam tubuh.

Namun, sakit sendi perlulah mendapat diagnosis yang betul daripada doktor perubatan.

Sakit sendi dalam bahasa perubatan dikenali sebagai Rheumatoid and Musculosketal Diseases (RMDs), merangkumi pelbagai jenis (sehingga 200 diagnosis) yang kesan utama memberi kesan kepada sendi, menyebabkan kesakitan dan ketidakupayaan sehingga menjejaskan kualiti hidup pesakit.

Pemakanan adalah faktor utama kepada kesihatan ini termasuklah sakit sendi, mental dan berat badan yang perlu berlaku sejak awal kehidupan manusia sebagai kaedah pencegahan.

Timbalan Dekan dan Dietitian, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof, yang juga dietitian di Hospital Pengajar UPM, berkata dalam konteks mencegah penyakit sendi atau menguruskan penyakit ini dua perspektif berbeza.

Katanya, dalam konteks rawatan ia dipanggil sebagai Terapi Pemakanan Perubatan diberi oleh ahli dietitik yang menggunakan fakta berdasarkan bukti.

"Ia diperakui European Alliance of Association for Rheumatology (EULAR) 2021 yang membuat kajian berkaitan dengan diet mana sebenarnya boleh membantu menguruskan pesakit sendi Rheumatoid ini.

"Melalui kajian ini, mereka sahkan diet memainkan peranan, namun perlu dipandang secara holistik yang membawa maksud ia bukan perlu berpantang makanan tetapi amalan hidup lain seperti merokok," katanya.

Beliau berkata, pencegahan boleh dilakukan dengan kembali kepada asas pengambilan pemakanan ditetapkan Panduan Diet Malaysia.

Katanya, akan ramai melihat kenyataan itu sebagai ironik tetapi apabila ahli pemakanan negara membuat satu Panduan Diet Malaysia, mereka perlu juga merujuk panduan yang ada di luar negara.

"Di Amerika Syarikat (AS), melalui kajian The Nurses Health Study II membabitkan hampir 116,400 jururawat wanita di negara itu, mendapati 0.4 peratus (347 orang) daripada kumpulan jururawat itu yang mendapat Rheumatoid arthritis adalah mereka yang tidak mengamalkan pemakanan sihat selama tempoh 20 tahun kajian dijalankan.

"Walaupun, angkanya dilihat hanya 0.4 peratus tetapi di sini, kita perlu faham apa sebenarnya yang berlaku. Daripada jumlah lebihan jururawat yang tidak mendapat Rheumatoid arthritis ini, yang didapati mengambil pemakanan sihat seperti buah-buahan, sayuran, makan yang tinggi serat seperti bijirin penuh.

"Selain kurangkan makanan berlemak, mereka yang terbabit dalam kajian ini tidak mendapat sakit sendi itu kerana bersenam melalui amalan gaya hidup sihat," katanya.

Bagi mereka yang mendapat Rheumatoid arthritis, Dr Barakatun Nisak memberitahu, sebenarnya ia bukan sahaja berunsurkan pemakanan, sebaliknya pendekatan secara menyeluruh.

"Sebagai contoh, pesakit yang datang mendapat rawatan sendi seperti Rheumatoid arthritis atau sakit lutut arthritis, kebanyakan mereka mengalami berat badan berlebihan.

"Kajian dunia menunjukkan dalam kalangan pesakit yang menghidap Rheumatoid and Musculosketal Diseases (RMDs), 20 hingga 30 peratus pesakit mereka yang obesiti.

"Jika masalah kesihatan sudah diagnosis doktor dan mengalami obesiti, ia akan meningkat lima kali ganda kesan kepada pesakit berbanding pesakit yang mempunyai sakit sendi tetapi tidak gemuk," katanya.

Katanya, merokok akan mengakibatkan dua kali ganda kesan buruk kesakitan kepada pesakit sendi berbanding tidak merokok.

Jenis makanan

Beliau berkata, langkah awal diambil bagi pesakit sendi obesiti adalah pengurusan penurunan berat badan.

"Apabila pesakit obesiti dapat menurunkan berat badan, lima hingga 10 peratus secara signifikannya dapat mengurangkan rasa sakit.

"Jika nak sembuh sepenuhnya, ia agak mustahil tetapi proses mengurangkan rasa sakit boleh berlaku termasuk pesakit dapat bergerak dengan lebih baik berbanding keadaan ketika sakit menyerang tanpa bebanan berat badan," katanya.

Sesetengah penyakit sendi disebabkan keradangan seperti Systemic Lupus Erythematosus (SLE) dan Rheumatoid arthritis.

"Apabila keradangan, pakar perubatan akan menasihatkan pesakit untuk pengambilan diet atau pemakanan dapat mengurangkan keradangan itu.

"Ini termasuk buah-buahan, sayuran, ikan yang kaya dengan kandungan Omega 3 seperti ikan laut dalam (kembung, tongkol, salmon, tenggiri dan tuna).

"Ramai tidak tahu ikan sangat kaya dengan asid lemak Omega 3 yang boleh mengurangkan keradangan.

"Makanan perlu dielakkan adalah gula berlebihan, bergaram dan lemak tepu kerana akan meningkatkan tekanan oksidatif seterusnya memberi keradangan kepada tubuh," katanya.

Kuatkan otot

Pada era ini, Dr Barakatun Nisak menekankan perlunya pencegahan awal pada usia muda termasuk sakit sendi.

Katanya, bagi ibu bapa, penting untuk anak-anak menjalankan lebih banyak aktiviti fizikal seperti beriadah dan senaman kerana itu cara menguatkan otot mereka bermula usia muda.

"Walaupun ibu bapa memberikan makanan sihat, tetapi jika anak tidak bersenam, otot tidak dapat 'memanjang' dan menyebabkan bantut," katanya.

Antara faktor risiko yang tidak boleh diubah adalah apabila seseorang meningkat usia.

Perkara biasa apabila seseorang meningkat usia otot manusia semakin menyusut dan banyak memberi tekanan kepada tulang.

"Wanita menopaus segala hormon yang menjaga dalam badan ketika dalam umur reproduktif sudah tiada menyebabkan cenderung mendapat tulang rapuh," katanya.

Bagi yang mengalami sakit sendi lutut (knee arthritis), pakar perubatan turut memberikan makanan tambahan dikenal pasti bagi mengubati kesakitan itu seperti Glucosamine dan Chondroitin.

Katanya, pesakit dapat mengurangkan kesakitan bukannya untuk mencegah bagi mereka yang tidak mengalaminya.

"Semuanya berbalik kepada amalan hidup gaya sihat bermula daripada awal untuk mencegah sebarang penyakit," katanya.

Sumber dari Berita Harian

Catat Ulasan

0 Ulasan