Rendah diri tiada kelopak mata, kini jadi tauke produk

 


Menghidapi Sindrom Blepharophimosis atau kelopak mata tidak normal bukan penghalang wanita ini berjaya dalam hidup, sebaliknya bangkit penuh bersemangat untuk menjadi usahawan cemerlang.

Usahawan, Nur Syahidah Aimullah Abdul Rahim, 32, berasal dari Ipoh, Perak menghidap sindrom itu sejak lahir dan disahkan akibat genetik berikutan bapanya juga menghidap sindrom yang sama, selain adik perempuannya.

Anak sulung daripada lima beradik itu mengakui masalah dihadapinya itu membuatkannya tidak yakin, merasa rendah diri, malu dan takut untuk berhadapan dengan orang ramai sejak kecil.

Katanya, ini kerana orang ramai akan sentiasa melihat muka terutama pada bahagian kedua-dua matanya dan tertanya-tanya apa yang berlaku kepadanya.

"Sejujurnya sehingga sekarang apabila saya ke mana-mana saya akan sentiasa dipandang orang kerana mereka mungkin merasakan saya 'pelik'.

"Tetapi apabila sudah semakin dewasa saya sudah membiasakan diri dan jika ada yang bertanya, saya akan jawab dengan jujur sindrom dihadapi," katanya.

Nur Syahidah yang sudah berkahwin dan kini menetap di Kulim, Kedah berkata, walaupun tiada kelopak mata sejak kecil, ia bukan penghalang beliau melakukan rutin harian seperti orang lain.

Malah katanya, beliau hanya memakai cermin mata kerana silau.

"Tiada kelopak mata memang ada sedikit kekurangan sebagai contoh orang lain dapat melihat bangunan empat tingkat dari jauh dengan mudah dan jelas, tetapi berbeza dengan saya yang hanya dapat melihat tiga tingkat.

"Tetapi bukan halangan atau membuatkan pergerakan saya terbatas kerana saya masih boleh melakukan rutin sama seperti biasa," katanya.

Ada rawatan kosmetik untuk kelopak mata, tapi beliau merasakan tiada keperluan melakukannya.

Ketika ini, beliau selesa dengan keadaan yang dihidapi sejak kecil, selain menganggap diri istimewa berbanding orang lain.

"Jika pada masa akan datang sindrom ini mengganggu kesihatan saya seperti menyebabkan rabun teruk, saya akan membuat pembedahan yang sewajarnya," katanya.

Beliau yang sebelum ini berniaga kuih secara kecilan di rumah berkata, hidupnya kini berubah 180 darjah selepas menjadi juara pertandingan Resipi Berani Maggi musim kedua, pada Ogos lalu.

Katanya, program itu adalah sebahagian daripada Program Mentor Wanita Cukup Berani yang bertujuan memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk keluar daripada zon selesa dan mencuba sesuatu yang baharu.

Selain menerima wang tunai RM8,000, lebih menggembirakannya beliau menerima bimbingan peribadi selama lapan minggu bersama ikon usahawan Anne Idris.

"Kemenangan itu membolehkan saya kini mempunyai produk dengan jenama sendiri iaitu rendang dendeng daging yang juga hidangan pada pusingan akhir pertandingan berkenaan.

"Produk ini hasil bimbingan Anne yang membantu dari segi memfokuskan pada peningkatan perniagaan makanan, mengurus kecekapan kos dan strategi penjenamaan," katanya yang mengeluarkan daging dendeng Syahidah Food sejak dua bulan lalu.

Akuinya, bukan mudah untuk memulakan perniagaan dan pada bulan pertama jualan tidak memberangsangkan.

Namun, selepas menukar pembungkusan produk jualan dua kali ganda.

Katanya, beliau kini menjual rendang menerusi laman e-dagang popular serta laman sosial miliknya dan sering mempromosikan sendiri produknya.

"Saya yakin kekurangan saya ini bukan penghalang pencetus kejayaan pada masa akan datang," katanya.

Sumber Dari Berita Harian

Catat Ulasan

0 Ulasan