Pasar Kedai Payang meriah penuh hiasan bendera

 


Lebih 300 peniaga di Pasar Kedai Payang mengambil inisiatif menghias ruang dan gerai bagi menzahirkan rasa cinta kepada tanah air sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Selain Jalur Gemilang, peniaga turut memasang bendera setiap negeri yang ada di Malaysia sekali gus menjadikan suasana di pasar yang menjadi tumpuan pelancong itu meriah dan ceria.

Malah, peniaga yang terbabit sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk menghias premis mereka bagi menceriakan suasana dan tanda sokongan kepada pelaksanaan program berkenaan.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu Cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusoff, berkata pemasangan Jalur Gemilang dan bendera setiap negeri itu dibuat bermula Ogos lalu bagi meraikan Hari Kebangsaan diikuti Hari Malaysia pada 16 September.

Katanya, inisiatif itu dilakukan bagi menyemarakkan dua hari bersejarah negara, khususnya dalam kalangan generasi muda.

"Pasar Kedai Payang ini menjadi antara tumpuan pelancong yang berkunjung ke Terengganu khususnya Kuala Terengganu dan apabila kita buat begini, ia bukan dapat menceriakan kawasan pasar tetapi dapat menaikkan semangat cintakan negara bukan hanya kepada peniaga sendiri tetapi dalam kalangan pengunjung.

"Selain pasang Jalur Gemilang, kita buat sikit kelainan dengan pasang bendera daripada setiap negeri kerana kita tahu lokasi ini menjadi tumpuan pengunjung luar Terengganu.

"Ia secara tidak langsung menunjukkan penghargaan kita kepada pelancong dari luar Terengganu yang memilih pasar ini sebagai lokasi beli-belah mereka," katanya ketika ditemui di Pasar Kedai Payang.

Zakaria berkata, pihaknya turut berhasrat menjadikannya sebagai acara tahun bagi peniaga di Pasar Kedai Payang sempenan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

"Kita lihat sambutan daripada peniaga memang baik kerana ia dapat merapatkan hubungan sesama peniaga," katanya.

Sumber dari Berita Harian

Catat Ulasan

0 Ulasan