Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke)

 


Fasa pertama Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) yang bermula dari persimpangan Kajang-Cheras sehingga persimpangan Bukit Antarabangsa sepanjang 16.6 kilometer (km) bakal dibuka kepada orang awam dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas), yang merupakan pengendali lebuh raya berkenaan, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, pelancaran fasa pertama Suke bakal disempurnakan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof pada 15 September 2022.

Jelasnya, keseluruhan lebuh raya sepanjang 24.4 km bermula di Jalan Sri Petaling hingga Ulu Kelang yang menelan kos pembinaan RM5.7 bilion itu kini telah 98 peratus siap dan pembangunannya dijangka selesai pada suku tahun pertama 2023.

“Kami telah memohon kepada kerajaan supaya fasa pertama laluan ini dibuka terlebih dahulu dan Alhamdulillah telah diluluskan, jadi ia akan dibuka kepada awam dalam tempoh masa terdekat ini,” katanya pada sesi taklimat dan lawatan bersama media hari ini.

Azlan bagaimanapun enggan mengulas bila fasa pertama Suke boleh digunakan umum, kadar tol yang dikenakan atau sama ada ia boleh digunakan secara percuma pada peringkat awal.

“Semua ini hanya boleh diumumkan oleh Menteri,” ujarnya.

Menurut Azlan, berdasarkan kajian awal, Suke mampu mengurangkan kesesakan trafik di sepanjang Jalan Lingkaran Tengah 2 sebanyak 30 peratus, mengurangkan 30 peratus kesesakan trafik di Jalan Ampang dan 12 peratus lagi di Jalan Loke Yew pada waktu puncak.

“Jangkaan masa perjalanan melalui Suke adalah selama 25 minit, iaitu penjimatan 50 minit berbanding 75 minit perjalanan melalui jalan sedia ada.

“Lebuh raya ini dijangka akan digunakan oleh sekitar 80,000 kenderaan sehari apabila dibuka sepenuhnya kelak,” ujarnya.

Antara keistimewaan Suke ialah memiliki tanjakan ‘helikoidal’ pertama di Malaysia di persimpangan Cheras-Kajang, yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records serta Anugerah Reka Bentuk Lebuh Raya Dinamik daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Selain itu, ia memiliki struktur jejambat lebuh raya tertinggi bersegmen pada ketinggian 56.4 meter merentasi Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Besi-Kajang dan Lebuhraya Cheras-Kajang, yang bersamaan dengan ketinggian bangunan 18 tingkat.

Sumber dari Kosmo!

Catat Ulasan

0 Ulasan