Keunikan Adat Perpatih Negeri Sembilan

 


Keunikan adat Perpatih menjadikan Negeri Sembilan mempunyai tarikan tersendiri bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyatnya, malah menggamit tumpuan pelancong untuk mendalami mengenai warisan budaya mereka.

Adat berasal dari Minangkabau bermula sejak abad ke-14 terus diamalkan hingga hari ini meliputi aspek kehidupan harian, budaya, ikatan kekeluargaan, harta pusaka, makanan, sosial dan ekonomi diamalkan.

Setiap kali majlis keramaian diadakan sering menjadi perhatian ramai kerana keunikannya.

Pengarah Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin, berkata terdapat banyak aktiviti dan kehidupan harian berasaskan adat Perpatih terus diamalkan masyarakat Negeri Sembilan.

Katanya, ia menjadi sistem kemasyarakatan yang lengkap dan mempunyai nilai adab dan seharusnya dikekalkan.

Beliau juga dikenali sebagai Raja Teromba dalam memperjuangkan seni warisan Melayu berkata, bagaimanapun banyak mitos berkaitan adat ini hingga menenggelamkan fakta sebenar.

Kekalkan bangunan bersejarah

Selain itu, terdapat rumah adat yang mempunyai nilai seni di negeri itu, tetapi tinggal terbiar sekali gus merugikan terutama dari aspek pelancongan.

Apabila keadaan itu berlaku, nilai sejarah persekitarannya akan hilang dan musnah.

"Usaha menyelamatkan rumah adat yang indah dan penuh bermakna seharusnya dilakukan pihak berkaitan seperti dibuat kerajaan negeri Melaka.

"Bangunan lama mempunyai nilai sejarah yang begitu hebat, misalnya Masjid di Parit Istana, Masjid Lama Seri Menanti dan Masjid Lama Pelangai di Kuala Pilah, antara bangunan bersejarah harus dipelihara.

"Saya berharap bangunan bersejarah ini dapat dipertahankan untuk generasi akan datang," katanya.

Sejarah bertapak lama

Setiausaha Kerapatan Adat Luak Ulu Muar, Abdul Khalid Ujang, 59, berkata adat Perpatih mempunyai sejarah yang panjang iaitu sudah mula bertapak 700 tahun lalu.

Beliau yang memegang pangkat Dato Perdana Dato Lembaga Suku Biduanda, berkata adat yang diwarisi sejak turun-temurun itu tidak perlu diragui.

"Masyarakat mengamalkan adat Perpatih tidak berpuak sebaliknya sentiasa mengekalkan permuafakatan dalam kehidupan.

"Sebagai contoh dari segi perkahwinan, adat Perpatih melarang berkahwin sesama suku dan mereka memerlukan pasangan dari suku yang lain," katanya ketika ditemui.

Abdul Khalid berkata, peneraju adat Perpatih atau pemegang pesaka adat seperti Undang, Penghulu, Dato' Lembaga, Buapak, Besar Waris dan Ibu Soko adalah sumber rujukan utama.

"Apabila melakukan kenduri-kendara seperti perkahwinan, masyarakat adat Perpatih akan mengamalkan ciri-ciri adat diketuai oleh Buapak mereka yang akan menjalankan hingga selesai," katanya.

Usaha perkasakan adat Perpatih

Beliau berkata, tidak dinafikan kefahaman adat Perpatih dalam kalangan golongan muda amat dengkel dan hakisan ketidakfahaman ini sangat membimbangkan.

"Untuk memastikan kesinambungannya, golongan muda perlu didedahkan dengan adat ini menerusi bimbingan dan kefahaman serta amalan dalam kehidupan harian," katanya.

Abdul Khalid berkata, terdapat keseluruhan 16 luak di Negeri Sembilan dan usaha sentiasa dibuat bagi memperkukuhkan luak ini menerusi pengamalan harian.

Namun, pihaknya menghargai usaha kerajaan Negeri Sembilan terus membantu menerusi peruntukan khusus terhadap usaha memperkasakan adat Perpatih.

"Kita berharap segala usaha dilakukan dapat memastikan adat yang sudah bertapak sekitar 700 tahun ini kekal subur diamalkan masyarakat negeri ini dan dapat diwarisi generasi akan datang," katanya.

Mengenai Adat Perpatih:

  • Berasal dari Minangkabau, Sumatera.
  • Diasaskan pemimpin Minang, Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Nan Sebatang
  • Di bawa ke Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) oleh perantau ke pada abad 14 Masihi
  • Masih wujud dan diamalkan masyarakat Melayu di Negeri Sembilan dan sebahagian di Melaka terutamanya Masjid Tanah.
  • Majoriti mereka adalah keturunan Melayu Minangkabau.
  • Catat Ulasan

    0 Ulasan