Jangan mudah terpengaruh dakwaan kedatangan Imam Mahadi

 


Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor meminta umat Islam tidak memberi perhatian yang berlebihan mengenai isu kedatangan Imam Mahadi.

Katanya, ini berikutan banyak dakwaan mengenai kelahiran Imam Mahadi oleh pelbagai pihak akhir-akhir ini, dibimbangi boleh mengelirukan masyarakat Islam, terutama mereka yang kurang dari segi pengetahuan agama.

Beliau berkata, umat Islam masih memiliki dua sumber sahih bagi dijadikan pedoman dan panduan kehidupan iaitu al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah, maka berpegang kepada kedua-duanya sudah cukup bagi membangun kehidupan yang baik, maju dan mulia.

"Dalam kalangan masyarakat Islam termasuk di Malaysia, kepercayaan berhubung kelahiran Imam Mahadi ini bersumberkan puluhan hadis, antaranya ada yang sahih, namun kebanyakannya adalah daif," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Wan Salim berkata, dalil mengenai kelahiran Imam Mahadi yang dinanti itu sering dijadikan objek perbincangan dalam kalangan ulama, namun tiada dalil menunjukkan kepada kemustahilannya.

Katanya, kemunculan Imam Mahadi boleh dipercayai, namun sesiapa yang tidak percaya tidaklah jatuh kafir.

"Pada pandangan saya umat Islam tidak perlu memberi perhatian berlebihan berhubung isu ini dan mampu mengembalikan tamadun gemilang tanpa perlu menunggu kedatangan 'Sang Penyelamat' yang tidak diketahui secara pasti masa kemunculannya," katanya.

Wan Salim berkata demikian berikutan laporan media susulan keputusan Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS) menutup pusat pengamalan tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah pimpinan Habib Shah Firdaus Habib Ahmad di Kampung Batu 8 Labu, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Penutupan dibuat JMNS selepas menerima aduan tarekat itu melakukan perbuatan bercanggah dengan hukum syarak serta bercanggah dengan bentuk pengamalan tarekat tasawuf direkodkan dalam daftar mengikut perenggan 11(1)(h) Enakmen Tarekat Tasawuf Negeri Sembilan 2005.

Menurut Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, dakwaan Imam Mahadi akan muncul pada Hari Arafah tahun ini antara punca tarekat itu disiasat JMNS.

Dakwaan itu dimaklumkan oleh sebahagian pengikut tarekat berkenaan kepada JMNS selepas mereka mula menyedari pengamalan yang dilakukan Habib Shah Firdaus bertentangan dengan hukum syarak.

Sumber dari Berita Harian

Catat Ulasan

0 Ulasan