Rabu, 7 September 2022

,

Gegar Vaganza 9 tampil dengan format baharu

 


Penyertaan penyanyi yang masih bergiat aktif dalam program realiti Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) seakan-akan melanggar objektif utama penganjuran program itu yang dikenali memfokuskan untuk menggilap bakat penyanyi senior yang sudah lama menyepi dalam bidang seni.

Menjawab persoalan itu, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, Astro perlu tampil dengan format baharu bersesuaian dengan penganjuran GV yang sudah memasuki edisi kesembilan tahun ini.

"Sebelum pihak kami berjaya mendapatkan 13 penyanyi yang bakal terbabit dalam GV9, kami berjumpa dengan 40 peserta dari Malaysia, Indonesia dan Singapura. Hasil daripada pertemuan itu ada peserta yang mengalami masalah kesihatan sehingga mereka tidak dapat sertai GV9.

"Semua sedia maklum pentas GV memerlukan persiapan yang cukup mendalam kerana setiap minggu peserta akan diberi cabaran baharu sekali gus akan memberi tekanan kepada mereka.

"Jadi mengambil kira faktor itu kami berasa format GV perlu diubah memandangkan program realiti ini sudah memasuki edisi kesembilan. Lagipun pihak kami tidak boleh terlalu selesa dan perlu tampil dengan perubahan baharu.

"Selain itu, kebanyakan penyanyi lama tidak mencapai piawaian yang kita mahukan dalam GV9. Selain daripada penganjuran GV sebagai sebuah pertandingan nyanyian, kami juga perlu pastikan pelanggan kami mendapat hiburan yang terbaik dan berkualiti sepanjang 10 minggu bersiaran," katanya.

Antara penyanyi yang masih aktif dan menjadi persoalan ramai adalah Shila Amzah yang baru sahaja melancarkan single berjudul Bahagiakan Dia duet bersama Liza Hanim dan memenangi dua pertandingan nyanyian yang dianjurkan tahun ini.

Menurut Raqim, pihaknya tidak menolak sekiranya pada musim akan datang turut memperlihatkan gabungan penyanyi yang masih aktif seperti diperkenalkan pada musim kali ini.

"Apapun kita lihat dulu senarai penyanyi yang akan datang. Berdasarkan pengalaman saya, terdapat penyanyi yang tolak tawaran mengikuti GV tahun ini tapi nak sertai pada musim akan datang.

"Ada juga yang kami pujuk berkali-kali sehingga penyanyi itu setuju untuk sertai. Jadi kami tidak nafikan mungkin tahun depan ada kelainan terbabit.

"Pada pandangan saya, masa akan berubah dan mungkin kita akan melihat gabungan baru dan lama berentap di atas satu pentas," katanya.

Selain Shila, calon peserta wanita solo yang berjaya melepasi sesi uji bakat ialah Jaclyn Victor, Dina Nadzir, Pat Candy, Haida Hasnan dan Tom manakala peserta lelaki yang berani menyahut cabaran ialah Tomok, Asheed, Bob Yusof, Fuad Rahman, Hazrul Nizam, Roy Kapilla serta kumpulan VE yang terdiri daripada Zaf, Cham, Adeeb dan Hakim.

Sumber dari Harian Metro

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.