Abang Long Fadil 3 kaut RM3 juta hari pertama tayangan

 


Francais ketiga filem Abang Long Fadil arahan Syafiq Yusof meraih RM3 juta pada hari pertama tayangan di 159 pawagam di Malaysia, Brunei dan Singapura, Khamis lalu.

Meluahkan kesyukuran, Syafiq atau nama penuh, Mohd Syafiq Mohd Yusof, 30, menganggap jualan tiket memberangsangkan sebagai permulaan yang baik kepada filem garapannya itu.

"Terima kasih kepada semua yang menonton Abang Long Fadil 3 di pawagam.

"Saya berharap filem ini mampu menepati cita rasa penonton dan buat yang belum menyaksikannya, saya saran apa kata ajak rakan atau keluarga luangkan masa bersama.

"Nikmati komedi dan aksi yang dipersembahkan," katanya.

Abang Long Fadil 3 berkisar gelagat Fadil lakonan Zizan Razak sebagai ejen perisik Perkhidmatan Rahsia Negara (NSS) yang cuba menjatuhkan konspirasi jahat Chow Han yang dihidupkan pelawak Johan.

Dalam misinya itu, Fadil diburu King Cobra lakonan Datuk AC Mizal atas dendam kesumat.

Syafiq turut merakam penghargaan kepada media massa dan pengendali pawagam yang memberi sokongan padu terhadap filem Abang Long Fadil 3 yang diterbitkan Skop Productions Sdn Bhd dan Astro Shaw.

Sebelum ini, filem Abang Long Fadil dilaporkan mengutip RM1.2 juta pada sesi 'sneak preview', Rabu lalu.

Abang Long Fadil 3 adalah idea asal Syafiq yang menghasilkan Abang Long Fadil 1 dan Abang Long Fadil 2.

Sekuel kedua francais ini mencatat sejarah sebagai filem tempatan pertama meraih kutipan pecah panggung lebih RM18 juta ketika ditayangkan pada 2017.

Apa yang unik, melalui ketiga-tiga sekuel Abang Long Fadil, penonton dapat melihat transisi tema berbeza iaitu daripada dunia gangster, mafia dan perisikan.

Penggambaran Abang Long Fadil 3 pada 2019 mengambil masa 77 hari di Kuala Lumpur, Cyberjaya dan Klang.

Abang Long Fadil 3 turut menampilkan Maya Karin, Elizabeth Tan, Shuib Sepahtu dan Ozlyn Wati.

Sama beraksi dalam filem menelan belanja RM6 juta itu adalah Tania Hudson, Joey Daud, Jay Iswazir, Daniella Sha, Khir Rahman, Hairul Azreen dan Siraj Alsagoff.

Sumber dari Berita Harian

Catat Ulasan

0 Ulasan