Tingkatan 6 - Pilih jurusan berdasarkan keupayaan menguasai pelajaran

 


Kita ikuti panduan yang ditulis oleh Dr Zuwati Hasim, Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

Kejayaan seseorang pelajar tidak boleh diukur menerusi aliran pengajian yang dipilihnya tetapi bergantung kepada keupayaannya menguasai pembelajaran.

Justeru stigma jurusan sains tulen sebagai tanda aras pelajar itu lebih pandai berbanding yang lain seharusnya sudah lama ditiadakan. Sebenarnya, pelajar yang bijak akan memilih bidang sesuai dengan perjalanan cita-citanya untuk meneruskan pengajian dan membina kerjaya selepas meninggalkan zaman belajar.

Justeru, bagi pelajar yang bakal masuk ke Tingkatan Empat pada penggal persekolahan baharu nanti terdapat pelbagai aliran dan kombinasi mata pelajaran yang boleh dipilih sesuai dengan minat dan cita-cita anda. 

Namun, perlu diingat pilih jurusan yang sesuai dan tepat. Tidak dapat disangkal, minat adalah pendorong utama atau permulaan bagi kita memilih sesuatu bidang.

Bagaimanapun, pemilihan jurusan dan mata pelajaran untuk peringkat menengah atas iaitu pelajar Tingkatan Empat dan Lima tidak boleh hanya bersandarkan minat semata-mata. Sebaliknya ia perlu juga dibuat berdasarkan pengiraan subjek keperluan bagi membolehkan seseorang itu meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi sama ada program matrikulasi, pra universiti, mahupun diploma.

Panduan memilih jurusan

1. Tetapkan haluan kerjaya - berbincanglah dengan ibu bapa atau keluarga terdekat bagi membuka minda dan mencetus idea berkaitan pilihan jurusan anda. Jika anda jelas dengan cita-cita sendiri lebih mudah untuk membuat keputusan.

2. Saya tiada cita-cita ! Dalam hal ini ibu bapa boleh membantu dengan memberi pendedahan dan perkongsian mengenai perancangan masa depan dari sudut pelajaran dan bidang yang sesuai. Sebaiknya jangan memaksa anak untuk memenuhi cita-cita ibu bapa yang tidak kesampaian. Sebaliknya, biarkan mereka lebih fokus kepada kehendak sendiri selain pilih bidang yang sesuai dan dinamik dengan tuntutan zaman.

Namun, pemilihan jurusan haruslah melihat kepada keupayaan, kebolehan, dan minat pelajar. Ada pelajar yang cenderung kepada kemahiran dan ada pelajar yang cenderung kepada akademik. Ibu bapa perlu lebih memerhati dan memahami kehendak pelajar ini.

3. Rujuk guru - kaunselor di sekolah sentiasa dapat memberi nasihat dalam hal ini malah mampu melihat kecenderungan seseorang pelajar itu. Justeru, pelajar tidak perlu malu untuk berjumpa dengan kaunselor mahupun guru kaunseling. Stigma yang melihat peranan kaunselor atau guru kaunseling hanya untuk pelajar bermasalah itu harus dikikis.

4. Jika anda sudah bulat tekad dan punya cita-cita khusus, ambil tahu langkah yang sepatutnya bagi memudahkan diri memasuki bidang berkenaan. Ini dapat membantu pelajar membuat perancangan awal dan mengenalpasti subjek yang perlu dikuasai di sekolah. Sebagai contoh, untuk mengikuti program perakaunan di institusi pengajian tinggi, pelajar perlu mengenalpasti apakah kelayakan yang diperlukan. Pendedahan kepada keperluan dan kelayakan masuk ke program pendidikan tinggi sangat penting serta membantu dalam pemilihan jurusan di peringkat sekolah menengah atas.

5. Pilih jurusan yang anda minat bukan membuat pilihan disebabkan mahu mengikut kawan. Minat dan kebolehan setiap orang berbeza, jadi buatlah keputusan berdasarkan kecenderungan sendiri.

Apa jurusan patut dipilih?

Pelajar menengah atas perlu memilih lima subjek teras, satu subjek wajib dan selebihnya mata pelajaran elektif. Bagaimanapun mata pelajaran elektif ini tidak ditawarkan di semua sekolah. Ia bergantung kepada sekolah itu sama ada mereka memiliki guru atau kemudahan untuk menawarkan mata pelajaran berkenaan.

Untuk setiap pelajar menengah atas mereka wajib mengambil lima subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains

Sejarah, Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral, manakala Pendidikan Jasmani dan Kesihatan adalah subjek wajib.

Kemudian mereka perlu memilih tiga subjek elektif daripada enam pakej pengajian iaitu Sains Tulen dan Matematik Tambahan (STEM ) yang mana turut ditawarkan STEM 2 ( Sains Gunaan dan Teknologi) dan STEM 3 (mata pelajaran vokasional). Turut ditawarkan pakej pengajian Bahasa, Pengajian Islam dan Kemanusiaan dan Sastera Ikhtisas.

Untuk setiap pakej ini ia dibina dengan mengambil kira keperluan menyambung pengajian ke peringkat seterusnya sama.

Berdasarkan semua perkiraan itu, anda boleh memilih jurusan yang sesuai dengan kemampuan dan minat anda. Ketika ini juga banyak majikan atau syarikat yang membuat seminar dan memberikan peluang kepada pelajar mengikuti dan memberi pendedahan mengenai syarikat mereka dan peluang menyertainya. Pendedahan awal begini membuka minda pelajar untuk sedikit sebanyak membantu mereka memilih hala tuju.

Sumber : Berita Harian

Catat Ulasan

0 Ulasan