Roket gergasi NASA

 


Pasukan pelancaran di Pusat Angkasa Kennedy di Cape Canaveral, Amerika Syarikat membuat persiapan sepanjang hari semalam, menjelang ujian sulung pelepasan roket gergasi generasi akan datang Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA).

Pelancaran itu secara langsung menandakan permulaan program bulan ke Marikh, Artemis, 50 tahun selepas tamatnya misi Apollo, yang menyaksikan manusia pertama menjejakkan kaki di bulan.

Semalam, pegawai NASA berkata semua sistem kelihatan dalam keadaan sedia, dengan ramalan cuaca menjangkakan keadaan 80 peratus bersesuaian bagi pelancaran pada dua jam pertama bermula 8.33 pagi itu, berkurangan kepada 60 peratus menjelang saat pelancaran.

"Semuanya sehingga kini kelihatan baik dari perspektif kenderaan. Kami teruja, kenderaan itu sudah siap, ia kelihatan hebat," kata pengarah ujian kanan NASA, Jeff Spaulding.

Walaupun rod kilat di tapak pelancaran disambar petir semalam, Spaulding berkata beliau tidak melihat apa-apa kesan pada sistem di lapangan yang menimbulkan kebimbangan.

NASA berkata, tiada kerosakan pada kapal angkasa atau kemudahan pelancaran berkenaan.

Roket Sistem Pelancaran Angkasa Lepas (SLS) sedia untuk melepaskan sebuah kapsul tanpa kru, Orion, mengelilingi bulan dan kembali semula, dalam penerbangan ujian selama enam minggu.

Ia dilaksanakan bagi menguji prestasi kedua-dua kenderaan misi itu melakukan semua prosedur ditetapkan sebelum menerbangkan angkasawan dalam misi berikutnya yang dijadualkan pada 2024.

Kombinasi SLS-Orion, dengan ketinggian 98 meter, kini menjadi mercu tanda Amerika Syarikat (AS) sebagai pengganti kepada program Apollo pada 1960-an dan 1970-an.

Jika kedua-dua misi itu berjaya, NASA menyasarkan untuk mendaratkan angkasawan kembali ke bulan, termasuk wanita pertama menjejakkan kaki di permukaan bulan seawal 2025, walaupun ramai pakar percaya jangka masa itu mungkin akan tersasar selama beberapa tahun.

Manusia terakhir yang berjalan di bulan ialah dua angkasawan dalam pasukan Apollo 17 pada 1972, yang mengikut jejak langkah 10 angkasawan lain dalam lima misi terdahulu, bermula dengan Apollo 11 pada 1969.

Program Artemis bertujuan menubuhkan pangkalan bulan untuk jangka panjang sebagai batu loncatan kepada penerokaan angkasawan yang lebih bercita-cita tinggi iaitu ke Marikh, satu matlamat yang disifatkan pegawai NASA mungkin akan mengambil masa sekurang-kurangnya lewat 2030-an untuk dicapai.

 
Sumber dari REUTERS

Catat Ulasan

0 Ulasan