Keluarga bermata biru

 


Tiga beranak di Kampung Chenerai, Siong, Baling, Kedah Umi Aqilah Ahmad Zailani, 19, dan Muhammad Safwan, 13, memiliki warna mata yang diwarisi daripada bapa mereka, Ahmad Zailani Dollah, 52. Nenek dan ibu Ahmad Zailani juga bermata biru manakala dua sepupunya memiliki sebelah mata dengan warna sama.

Ibu dua beradik berkenaan, Esah Mat Hassan, 45, berkata dia pada mulanya tidak menyedari mata Umi Aqilah berwarna biru sehinggalah diberitahu jururawat selepas seminggu anaknya itu dilahirkan.

"Ketika itu saya bawa dia ke hospital untuk pemeriksaan demam kuning. Apabila diletakkan di bawah cahaya lampu, jururawat perasan matanya berwarna biru. Saya agak terkejut namun bersyukur kerana dia mewarisi mata biru bapanya selepas dua kakak dan seorang abangnya bermata hitam biasa," katanya.

Esah berkata, Umi Aqilah bagaimanapun cacat pendengaran selepas beberapa bulan dilahirkan akibat kerosakan bahagian gegendang telinga.

Ibu tujuh anak ini memaklumkan, ketika mendukung Umi Aqilah ke hospital untuk mendapatkan rawatan telinga ketika kecil, orang ramai sering menegur dan menganggap dia sengaja memakaikan anak perempuannya itu kanta lekap biru.

"Memang mata anak saya jadi perhatian ke mana saja saya bawa mereka pergi, malah ketika di sekolah pun, rakan-rakan sekelas dan guru turut menegur dan minat dengan keunikan mata mereka," kata suri rumah berkenaan.

Umi Aqilah ketika ditemubual menggunakan bahasa isyarat dan menulis di kertas, berkata dia bersyukur 'dipinjamkan' Allah sepasang mata cantik dan mengakui sering jadi perhatian rakan-rakan sekolah dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Layar dan Pendidikan Khas Integrasi di Sungai Petani sebelum ini.

Anak keempat daripada tujuh beradik yang agak pemalu ini, berkata dia tidak mahu terlalu leka dengan pujian kerana setiap manusia tetap mempunyai kelemahan masing-masing.

"Kalau dalam kelas, ramai suka tengok mata saya, cikgu-cikgu pun suka tengok mata saya," katanya yang berhasrat menyambung pelajaran dalam bidang kulinari di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis selepas ini bagi mengejar cita-cita menjadi tenaga pengajar dalam bidang berkenaan.

Sumber dari Berita Harian 3 Jun 2022

Catat Ulasan

0 Ulasan