Johnson & Johnson hentikan jualan bedak bayi talkum

 


Syarikat Johnson & Johnson (J&J) akan menghentikan penjualan bedak bayi berasaskan talkum secara global, tahun depan.

Syarikat itu membuat pengumuman selepas lebih dua tahun menamatkan penjualan produk itu di Amerika Syarikat (AS) yang mengundang ribuan saman berhubung keselamatan pengguna.

“Sebagai sebahagian daripada penilaian portfolio di seluruh dunia, kami membuat keputusan komersil untuk beralih kepada pengeluaran bedak bayi berasaskan tepung jagung,” kata kenyataan itu.

Pihak syarikat memaklumkan bedak bayi berasaskan tepung jagung sudah dijual di seluruh dunia.

Dua tahun lalu, J&J mengumumkan akan menghentikan penjualan bedak bayi talkum di AS dan Kanada kerana permintaan merosot susulan tersebar ‘maklumat salah mengenai keselamatan produk ketika menerima banyak tuntutan saman’.

Syarikat itu berdepan kira-kira 38,000 tindakan saman daripada pengguna dengan mereka yang terselamat mendakwa produk talkumnya menyebabkan barah akibat pencemaran dengan asbestos, sejenis karsinogen yang diketahui.

J&J bagaimanapun menafikan dakwaan terbabit kerana ujian saintifik dan kelulusan kawal selia selama beberapa dekad menunjukkan talkumnya selamat dan bebas asbestos.

Sumber : BBC

Catat Ulasan

0 Ulasan