Universiti tamatkan program akademik yang sudah tidak relevan

 


Institusi pengajian tinggi (IPT) tertua negara, Universiti Malaya (UM) menghentikan 20 program akademiknya selepas kajian mendapati ia tidak lagi relevan dengan keperluan pasaran dan keadaan semasa.

Langkah yang bermula pada sesi pengajian 2021/2022 itu juga bagi memastikan graduan UM selepas ini mudah mendapat pasaran kerja serta memenuhi kehendak industri berbanding menawarkan kursus yang akhirnya menyebabkan lulusan UM ditawarkan kerja tidak sepadan dengan ilmu dipelajari.

Pemansuhan semua program akademik itu membabitkan pelbagai peringkat pengajian, masing-masing 13 program tidak popular atau bilangan graduan yang rendah, manakala tujuh lagi berikutan keperluan penawaran program baharu.

Antara program akademik dimansuhkan ialah Sarjana Muda Sains Bioinformatik, Sarjana Muda Sains (Sains Bahan), Sarjana Muda Sains Biokesihatan, Sarjana Muda Sains Pengajian Sains dan Teknologi serta Sarjana Muda Pendidikan (Pengurusan Pendidikan).

Selain itu, Sarjana Pendidikan (Pendidikan Sains), Sarjana Pendidikan (Pendidikan Matematik), Sarjana Pendidikan (Perancangan dan Pentadbiran), Sarjana Kepimpinan Pendidikan, Sarjana Kejuruteraan Sistem Kuasa, Sarjana Sains Perubatan (Fisiologi), Sarjana Penyelidikan Ekonomi dan Sarjana Penyelidikan Pentadbiran Awam.

Naib Canselor UM, Prof Datuk Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, berkata pemansuhan itu dibuat mengikut kriteria ditetapkan oleh Kajian Indeks Kelestarian Program (IKP), yang antara lain turut mengambil kira tahap populariti, keluaran atau graduan rendah serta program akademik yang tidak berdaya saing.

Beliau berkata, fokus IKP terbahagi kepada dua, iaitu populariti dan kebolehpasaran program akademik dengan kajian itu dibangunkan tanpa membabitkan maklum balas industri, sebaliknya berdasarkan analisis data mengenai trend pencapaian program bagi beberapa sesi akademik berpandukan dua kriteria berkenaan.

"Proses analisis pencapaian program dibuat mengikut empat kriteria, iaitu penentuan skor subkriteria dan markah pencapaian setiap program, penetapan tahap pencapaian program berdasarkan markah pencapaian.

"Penentuan kategori berdasarkan analisis tahap pencapaian bagi setiap program serta Tindakan Kelestarian Program (TKP).

"Berdasarkan analisis statistik yang diperoleh, tahap pencapaian program dikategorikan mengikut julat pencapaian, iaitu cemerlang, sangat memuaskan, memuaskan, tidak memuaskan dan sangat tidak memuaskan," katanya kepada BH.

UM turut menjenamakan semula 50 program akademik lain, masing 26 program ditawarkan dengan nama baharu, 19 digabungkan dengan nama baharu, digabungkan dengan nama sedia ada (4) dan mod baharu (1).

Menjelaskan proses pemansuhan, Mohd Hamdi berkata, setiap kursus yang mahu dilupuskan perlu melalui tiga peringkat, iaitu penawaran kohort baharu dihentikan (penjumudan), sebelum dibekukan dan seterusnya dilupuskan.

"Setiap peringkat berkenaan akan berkuat kuasa selama dua tahun dengan keputusan akhir akan dimuktamadkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Ketika ini, status program pengajian berkenaan tidak lagi menerima pengambilan pelajar baharu, sebaliknya meneruskan kohort sedia ada dengan tempoh tindakannya berkuat kuasa selama dua tahun," katanya.

Katanya, mana-mana program dimansuhkan yang ingin ditawarkan semula pula perlu melalui proses mengkaji semula struktur program, kaedah penyampaian dan penilaiannya serta membentuk Jawatankuasa Pengajian membabitkan wakil pihak luar, termasuk industri.

Beliau berkata, program berkenaan kemudian akan dibekukan dan status program pengajian tidak ditawarkan bagi suatu tempoh tertentu selepas tamat tempoh pemansuhannya dengan jangka masa tindakan semasa adalah dua tahun.

"Eksesais semakan kurikulum perlu diadakan dalam tempoh pembekuan berkenaan, sekiranya ingin membuka semula struktur penawarannya, selain perlu dibawa ke Arahan Kerja Urusan Penawaran Program Baru (UMPT02-PKO3-AK003).

"Akhirnya, program pengajian tidak akan ditawarkan lagi dan dimansuhkan terus daripada senarai program diluluskan mesyuarat Jawatankuasa Pendidikan Tinggi (JKPT) dengan status akreditasi bakal dibatalkan dan sijilnya dipulangkan kepada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)," katanya.

Mohd Hamdi bagaimanapun berkata, keputusan mengenai pemansuhan berkenaan tidak menjejaskan kedudukan atau penarafan UM pada peringkat antarabangsa berikutan terdapat program pengajian baharu yang ditawarkan.

Sentiasa lihat keperluan penawaran

Katanya, UM sentiasa melihat kepada keperluan penawaran kursus baharu yang lebih relevan, sesuai dengan pasaran pekerjaan semasa, Revolusi Industri 4.0 (IR.4), sekali gus mengangkatnya ke persada antarabangsa.

Beliau berkata, antara kursus pengajian baharu diperkenalkan UM ialah Sarjana Keselamatan Siber, Sarjana Pengurusan Halal, Sarjana Kepintaran Buatan dan Sarjana Sains Data.

"Kursus atau program pengajian baharu ini mengutamakan bidang baharu dan terkini, sesuai dengan keperluan pasaran disamping menerapkan ilmu baharu, selaras keperluan semasa.

"Kebanyakan juga ditawarkan secara dalam talian, sama ada secara pembelajaran jarak jauh (RL) atau pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL) yang mengambil kira mod pembelajaran secara teradun.

"Selain itu, pelbagai kaedah penilaian alternatif dilaksanakan berdasarkan jenis kursus dan bidang ditawarkan," katanya.

Mohd Hamdi juga berkata, pihaknya menyedari harapan ibu bapa yang menghantar anak mereka memasuki universiti supaya mendapat pekerjaan dan gaji yang sepadan kelulusan.

"Kita tidak mahu menjadi universiti yang hanya sekadar menawarkan kursus kepada pelajar, tetapi mengetahui bidang dipelajari itu tiada permintaan pasaran.

"Susulan itu, tindakan ini diambil kerana kita prihatin dengan nasib pelajar dan bertanggungjawab memenuhi harapan keluarga mereka," katanya.

Pada Disember 2019, sebanyak 55 program kejuruteraan yang ditawarkan 12 IPT, termasuk lima universiti awam (UA) dimansuhkan kerana beberapa faktor seperti tiada permintaan dan kursus yang hampir sama.

Majlis Akreditasi Kejuruteraan dan Lembaga Jurutera Malaysia berkata, antara UA terbabit adalah UM, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS).

Susulan pendedahan itu, Pejabat Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan) Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) mengesahkan IPT yang memansuhkan 55 program kejuruteraan mereka sudah mengambil kira faktor kebolehpasaran graduan dan kesesuaian program ditawarkan.

JPT juga menjelaskan, keputusan IPT dalam menggugurkan program terbabit sejajar perkembangan semasa dan sudah diteliti secara mendalam, selain ia antara langkah proaktif bagi mendepani keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) serta perubahan dalam trend pekerjaan semasa.

Universiti Utara Malaysia (UUM) turut melaksanakan tindakan sama dengan Universiti Malaya (UM) apabila menghentikan sembilan program akademiknya berikutan ia tidak praktikal selain tiada lagi permintaan di pasaran.

Naib Canselornya, Prof Dr Haim Hilman Abdullah, berkata rentetan tindakan itu, UUM menggantikan lapan program akademik baharu yang bersifat kompetitif dan 'mesra' industri.

Beliau berkata, pemansuhan program akademik itu tidak memberi kesan kepada pelajar berikutan tiada lagi permintaan terhadap program terbabit.

"Punca kita hentikan adalah kerana program akademik itu tidak lagi popular, selain jumlah graduannya yang rendah. Atas dasar itu kita menawarkan program baharu yang lebih terkini.

"Antara program yang kita jumudkan (hentikan) ialah Diploma Siswazah Sains Koreksional; Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Perakauanan) dan Diploma Siswazah Dalam Pendidikan.

"Ia dilakukan secara berperingkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini selari dengan tindakan di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan sudut pandang Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan UM menghentikan 20 program akademiknya selepas kajian mendapati ia tidak lagi relevan dengan keperluan pasaran dan keadaan semasa.

Sementara itu, sekurang-kurangnya empat universiti tempatan lain mengesahkan tidak bercadang untuk memansuhkan program akademik sedia ada, sebaliknya melaksanakan penambahbaikan program di institusi masing-masing.

Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor, berkata walaupun tiada pemansuhan, pihaknya menambahbaik beberapa program, hasil semakan pihaknya sebelum ini.

Beliau berkata, sebanyak 131 program akademik di UiTM melalui semakan kurikulum sejak 2020.

"Penambahbaikan itu membabitkan aspek kandungan dan nama program mengikut proses MQA dan KPT.

"Kita mempunyai 518 program dan sentiasa melakukan semakan dari masa ke semasa serta menambah baik program mengikut prosesnya," katanya.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar, berkata selain menambahbaik program akademik sedia ada, UMT akan mewujudkan program baharu yang membolehkan graduan universiti itu mencipta peluang pekerjaan.

Beliau berkata, antara program akademik baharu yang akan diwujudkan atau dikembangkan membabitkan bidang teknologi pertanian, logistik maritim dan perikanan.

"Kita menjangkakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi program baharu atau yang dikembangkan ini boleh disediakan kepada pelajar selepas mendapat kelulusan MQA," katanya yang memaklumkan UMT mempunyai kurang daripada 30 program akademi ditawarkan di universiti itu.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman, berkata universiti itu turut mengambil tindakan sama dengan mengkaji mana-mana program yang tidak mempunyai nilai kebolehpasaran sebelum ia ditambah baik.

Beliau berkata, pihaknya merujuk kepada kajian kebolehpasaran graduan dilaksanakan KPT sebagai penanda aras sebelum melihat mana-mana program yang perlu ditambah baik.

Beliau berkata, sejak 2021 sehingga kini, sebanyak 50 program prasiswazah dan satu program pasca siswazah disemak dan ditambah baik oleh UPM.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman, berkata universiti itu mengambil langkah menambah baik program yang kurang mendapat sambutan dengan melaksanakan proses semakan semula kursus dan program serta penstrukturan program.

Beliau berkata, selain itu, ia turut membabitkan penyertaan industri, organisasi swasta dan kerajaan untuk memberi nilai tambah kepada program akademik.

Sumber : Berita Harian

Catat Ulasan

0 Ulasan