SPA laksana temu duga secara maya

 


Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) kini melaksanakan sesi temu duga calon perkhidmatan awam secara maya seiring keperluan dan teknologi semasa.

Pengerusinya, Tan Sri Zainal Rahim Seman, berkata pelaksanaan temu duga secara dalam talian memberi lebih pilihan dan fleksibiliti kepada calon dan panel terbabit di samping menjimatkan kos.

Beliau berkata, ketika pandemik COVID-19 SPA menjalankan temu duga secara maya dan kaedah itu mendapat maklum balas yang baik daripada masyarakat.

"Walaupun pandemik COVID-19 berlaku ketika itu, kita tidak hadkan temu duga kita kepada secara fizikal. Setiap tahun, dianggarkan antara 23,000 hingga 25,000 penjawat awam bersara dan wujud jawatan baru.

"Purata 16,000 hingga 18,000 calon yang ditemuduga SPA berjaya ditempatkan dalam perkhidmatan kerajaan dan 45 peratus hingga 75 peratus calon terbabit ditemuduga secara dalam talian.

"Proses temu duga ini sama seperti temu duga secara fizikal. Jika calon yang ditemuduga adalah 1,000 orang, potensi yang boleh kita lantik adalah antara 55 peratus hingga 60 peratus," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Temu Duga SPA di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kangar.

Zainal Rahim berkata, pada masa sama, calon temu duga SPA terutama yang berada jauh di luar bandar atau kawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak tidak perlu berasa gusar atau khuatir jika menghadapi masalah gangguan capaian Internet ketika sesi temu duga.

"Jika berlaku gangguan begini, kita akan tangguhkan sementara sesi temu duga dan sambung semula selepas capaian pulih. Jika masih tidak pulih, sesi temu duga dipinda ke tarikh lain atau calon boleh ke pusat temu duga SPA.

"Calon juga boleh ke jabatan kerajaan berhampiran, yang mempunyai capaian Internet baik untuk kita teruskan dengan temu duga secara dalam talian," katanya.

Mengulas mengenai pusat temu duga SPA di sini, beliau berharap, penubuhan kemudahan itu akan memberi impak besar dalam melancarkan urusan temu duga kepada setiap calon di Perlis.

Sebelum ini, katanya, SPA juga menjalin kerjasama dengan beberapa agensi dan jabatan kerajaan di negeri ini bagi melaksanakan urusan temu duga di ruang premis pihak terlibat.

Sumber dari Berita Harian

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.