Program Pembiayaan Insurans Kenderaan myezycover.com untuk penjawat awam

 


Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com yang dilancarkan hari ini akan memanfaatkan 1.6 juta penjawat awam termasuk bertaraf kontrak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penjawat awam tetap dan bertaraf kontrak layak memohon skim pembiayaan itu dengan syarat, nisbah hutang tidak melebihi 60 peratus daripada jumlah pendapatan bulanan.
Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju program itu turut diperluaskan kepada kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan sektor swasta dalam masa terdekat.
Katanya, program seumpama itu yang pertama kali dilaksanakan untuk penjawat awam secara digital dalam talian akan bercirikan seperti berikut;

  • Kemudahan pembaharuan polisi insurans kenderaan dan cukai jalan melalui pembiayaan tanpa faedah atau sifar peratus.
  • Penjawat awam boleh memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan tanpa apa-apa bayaran pendahuluan.
  • Bayaran balik pembiayaan secara ansuran sehingga 10 bulan, melalui Skim Potongan Gaji ANGKASA (SPGA).
  • Penjawat awam boleh memperbaharui insurans kenderaan di hujung jari dengan 'Mudah, Jimat dan Pantas'. Nota Perlindungan Insurans diperoleh hanya dalam tempoh lima minit.
  • Pembiayaan ini berlandaskan konsep patuh syariah Qardhul Hasan, yang merupakan pinjaman tidak membabitkan faedah atau unsur riba.
Ismail Sabri berkata, dengan pelbagai manfaat yang ditawarkan, penjawat awam boleh mengambil perlindungan tambahan yang lebih komprehensif untuk kenderaan masing-masing.
"Ini bagi memastikan kenderaan dan penumpang berupaya dilindungi daripada kemalangan, serta bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya," katanya berucap pada majlis pelancaran program itu.
Yang turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dan Pengerusi A Tech Insure Sdn Bhd, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Program terbabit adalah hasil rangka kerjasama strategik pihak awam dan swasta diusahakan Kementerian Sumber Manusia bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA ) dan A Tech Insure Sdn Bhd.
Tambah Perdana Menteri, program itu jelas membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam, selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang menitik beratkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.
Katanya, inisiatif ini tidak berorentasikan komersial semata-mata, paling penting, ia dapat membantu merealisasi konsep Keluarga Malaysia berasaskan indeks kebahagiaan, yang menjadi tanda aras komitmen dan kesungguhan kerajaan.
"Pada masa yang sama, usaha ini dapat membantu pegawai kerajaan mengurangkan tekanan kewangan, setiap kali mereka memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan," katanya yang menambah kerajaan amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh Keluarga Malaysia termasuk penjawat awam akibat pandemik COVID-19.
Selain itu Ismail Sabri berkata, kerajaan sentiasa menyambut baik pelaksanaan projek secara Kerjasama Sektor Awam Swasta dalam semua bidang, terutama yang memberikan impak positif serta manfaat besar kepada negara dan Keluarga Malaysia.
"Jalinan kerjasama ini mampu meningkatkan sistem penyampaian kerajaan, mencambahkan idea yang lebih kreatif, mewujudkan peluang pekerjaan, pertukaran kemahiran dan limpahan ekonomi.
"Kerjasama strategik ini juga, merupakan contoh terbaik apabila dapat membangunkan satu penyelesaian kewangan digital bagi urusan memperbaharui cukai jalan dan insurans kenderaan penjawat awam," katanya.
Program Pembiayaan Insurans Kenderaan boleh dilayari di : myezycover.com

Sumber : Berita Harian

Catat Ulasan

0 Ulasan