Perodua buka tempahan Alza baharu

 


Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) membuka tempahan untuk Perodua Alza baharu yang menggantikan model sebelumnya dengan penambahbaikan ketara dari segi keselesaan pemanduan dan lebih versatil.

Dengan harga tentatif antara RM62,000 dan RM75,000 (harga di Malaysia Barat, tanpa insuran dan tidak termasuk cukai jualan), Perodua Alza baharu menyediakan ruang yang lebih luas untuk penumpangnya dan pada masa yang sama meningkatkan kestabilan pemanduan kerana kenderaan pelbagai guna (MPV) itu direka khusus untuk pemandu dan jalan raya Malaysia.

Disediakan dalam tiga varian, X, H dan AV; Perodua Alza baharu didatangkan dengan lima pilihan warna iaitu Ivory White, Glittering Silver, Garnet Red, Elegant Black (baharu) dan Vintage Brown (baharu).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata pengeluar kereta kompak nasional itu mengambil masa mereka bentuk model baharu ini kerana mahukan model terkini itu memahami kehendak pelanggan.

"Antara permintaan mereka adalah pengalaman pemanduan yang lebih baik. Untuk itu, kami menambah baik 'Ground Clearance' Perodua Alza baharu kepada 160 milimeter (mm) yang mana pada penilaian kami, ia adalah ketinggian terbaik untuk pemanduan Malaysia yang menyenangkan untuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV)," katanya dalam satu kenyataan.

Zainal Abidin berkata, Perodua Alza baharu mempunyai ruang yang lebih besar berbanding pendahulunya, terutama di barisan ketiga ruangan kenderaan serta unit penyaman udara bahagian belakang.

"Selain itu, potensi kecekapan bahan api Perodua Alza baharu juga dipertingkatkan sehingga 22 kilometer (km) seliter, yang juga antara yang terbaik dalam kelas MPV," katanya.

Untuk ruang penyimpanan, Perodua Alza Baharu mempunyai kapasiti bagasi sebanyak 137 liter, dan 498 liter jika tempat duduk barisan ketiga dilipatkan.

Dari aspek keselamatan, varian AV didatangkan dengan enam beg udara, manakala varian X dan H didatangkan dengan empat beg udara.

Perodua Alza baharu turut didatangkan dengan Perodua Smart Drive Assist (PSDA), yang boleh dibahagikan kepada empat kategori; Bantuan Keselamatan Termaju (ASA), Bantuan Pemandu, Bantuan Tempat Letak Kereta dan Bantuan Lampu Hadapan.

"Perubahan model penuh ini mewakili usaha terbaik kami setakat ini dari segi penawaran produk kerana ciri yang disertakan adalah yang terbaik dalam kategori harganya," tambah Zainal Abidin.

Ciri terkini termasuk Pandangan Panoramik 360 darjah, Brek Letak Kereta Elektronik dengan Pegangan Brek Auto, Brek Cakera Belakang dan Mod Pemanduan Baharu: Normal, Eko dan Kuasa.

Antara ciri keselamatan standard model baharu ini termasuk ABS dengan EBD, kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dengan bantuan brek dan sensor belakang untuk membantu meletakkan kereta.

Selain itu, Perodua Alza baharu menyeragamkan ciri 'Advanced Safety Assist' atau ASA dalam semua varian.

Ini termasuk 'Pre-collision Warning', 'Pre-Collision Assist Brake' (untuk kenderaan dan pejalan kaki), 'Mis-pedal Operational Control' dan 'Front Departure Alert'.

Semua varian juga mempunyai sistem 'Lane Departure Warning' dan 'Lane Departure Prevention'.

Sebagai bonus tambahan, semua varian juga akan dilengkapi dengan fungsi 'Leaving Home Headlamp Assist' dan 'Hill-start Assist'.

"Pelanggan dialu-alukan untuk mengunjungi mana-mana daripada 188 bilik pameran jualan PERODUA di seluruh negara atau layari laman web www.perodua.com.my untuk maklumat lanjut," tambah Zainal Abidin.

Catat Ulasan

0 Ulasan