Selasa, 21 Jun 2022

, ,

Isi rumah Malaysia terus berbelanja besar meskipun inflasi

 


Berbeza dengan kelaziman yang mana pengguna akan mengurangkan perbelanjaan dalam situasi kenaikan harga barang, namun isi rumah di negara ini dijangka terus berbelanja besar meskipun berdepan inflasi.

Langkah itu sekali gus akan menyokong jualan runcit untuk terus kekal kukuh menuju ke hadapan, demikian kata penganalisis.

BIMB Securities Research dalam nota penyelidikannya berkata, buat masa ini, pihaknya yakin jualan runcit akan kekal kukuh memandangkan pengguna dijangka terus berbelanja dengan pembukaan semula ekonomi walaupun keutamaan perbelanjaan mungkin bertukar di tengah-tengah jangkaan inflasi tinggi.

Ia berkata, kemajuan dalam pasaran pekerjaan serta pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sosial akan menjadi pendorong kepada peningkatan jualan runcit dalam bulan mendatang.

"Peruncit domestik dijangka mendapat sedikit sokongan daripada pembukaan sempadan yang berterusan, melengkapi pemulihan dalam aktiviti domestik," katanya dalam nota penyelidikannya.

Jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan peningkatan 15.2 peratus tahun ke tahun pada April atau kepada RM128 bilion, jumlah tertinggi dalam sejarah. Peratusan itu juga lebih tinggi berbanding catatan bulan Mac iaitu 9.8 peratus.

Lonjakan itu juga adalah kenaikan bulanan ketujuh secara berturut-turut dan pertumbuhan dari segi peratusan tertinggi sejak Jun 2021.

Pengembangan ini disebabkan oleh jualan runcit yang meningkat sebanyak 20.9 peratus, manakala perdagangan borong dan jualan kenderaan bermotor juga meningkat masing-masing sebanyak 11.5 peratus dan 11.3 peratus.

BIMB Securities Research berkata, pertumbuhan perdagangan pengedaran dan jualan runcit yang teguh pada April tahun ini adalah permulaan yang kukuh untuk suku kedua dan terus menandakan persekitaran runcit domestik bertambah baik seiring dengan pasaran buruh yang lebih ketat dan yang lebih penting, kembalinya permintaan pelancong. 

"Kami kekal dengan pandangan bahawa jualan runcit domestik akan terus kekal disokong kukuh pada 2022, sejajar dengan prospek ekonomi yang positif, trend pembukaan semula dan pasaran buruh yang ketat walaupun ia mungkin dilembapkan oleh ketegangan geopolitik dan juga tekanan ke atas harga komoditi.

"Kami juga mengekalkan pandangan bahawa potensi peruntukkan belian awal pengguna tahun ini boleh menyokong jualan runcit menjelang kemungkinan pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)," katanya. 

Namun begitu, BIMB Securities Research menjangkakan harga runcit akan meningkat tahun ini berikutan kadar inflasi yang lebih tinggi, yang mana keadaan itu menjejaskan pendapatan boleh guna isi rumah, sekali gus mengurangkan perbelanjaan mereka dalam barangan lain. 

Ia berkata, pengguna kini lebih berhati-hati untuk berbelanja berikutan tekanan terhadap kewangan  mereka. 

"Kami menjangkakan peralihan ketara kepada jenama 'label sendiri' (produk lebih murah) , mengulangi apa yang kami lihat dalam krisis kewangan 2008-2009.

"Kami juga menjangkakan peningkatan tumpuan pada pilihan 'nilai untuk wang' memandangkan pengguna yang mementingkan kemampanan melihat  kepada pembelian yang mampu bertahan," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.