BN Youth Job Fair tawar 20,000 peluang kerjaya

 


Lebih 20,000 tawaran pekerjaan menanti pemohon sempena Karnival Kerjaya Barisan Nasional (BN) Youth Job Fair di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, yang bermula Jumaat 24 Jun sehingga Ahad 26 Jun 2022 ini.

Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata karnival bermula jam 9 pagi hingga 5 petang itu bukan saja menawarkan peluang kerjaya, malah permohonan bagi pembiayaan perniagaan kecil-kecilan kepada anak muda yang menceburi bidang keusahawanan.

"Sepanjang karnival ini, bukan saja peluang pekerjaan kita juga buka ruang perkhidmatan dari segi pembiayaan yang ada untuk mulakan perniagaan kecil-kecilan. Kita juga mempromosikan perumahan kos rendah bagi mereka yang pertama kali mahu membeli rumah.

"Kita jangka lebih 20,000 peluang kerjaya bakal ditawarkan. Daripada perbincangan dengan pihak agensi kerajaan yang akan turut serta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta, kami syorkan supaya juga boleh menawarkan terus pekerjaan kepada mereka yang datang ke WTC.

"Jadi, datang dengan berpakaian kemas. Bawa 'resume' masing-masing. Bagi yang tak tahu buat resume, kita ada sediakan bengkel untuk mereka sediakan resume terbaik," katanya ketika diwawancara dalam program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM pagi tadi.

Asyraf berkata, antara syarikat besar yang akan menawarkan peluang pekerjaan kepada pengunjung nanti, termasuk Boustead Holdings Bhd, Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), OUM dan institusi perbankan seperti Maybank Berhad.

"Sepanjang karnival ini, kita ada siri bengkel dan perkongsian daripada pelbagai kelompok profesional dari aspek kerjaya bagi memahamkan mereka mengenai industri tertentu," katanya.

Katanya, penganjuran kali ini diadakan dengan tujuan memastikan anak muda mendapat peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor ditawarkan, khususnya ketika negara sedang beralih ke fasa endemik dan ekonomi masih dalam fasa pemulihan.

"Kali ini kita mempunyai objektif yang spesifik. Selepas pasca pandemik, ramai tercari peluang dan peluang pekerjaan. Kerajaan juga umumkan pelbagai inisiatif.

"Kita melihat perlunya untuk mengambil inisiatif ini terutama apabila mereka masih tidak mendapat maklumat secukupnya. Kali ini kita rasa penting bagi memastikan adanya peluang dan ruang yang ditawarkan kepada anak muda di luar sana.

"Berdasarkan pengalaman lalu, setiap kali kita buat Job Fair, ia amat berjaya, apatah lagi kali ini," katanya.

Laman web BN Youth Job Fair : https://bnjobfair.com/

Sumber : Berita Harian

Catat Ulasan

0 Ulasan