Peluang graduan jadi ejen PTPTN menerusi Program GEMS

 


Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) komited membantu graduan yang menerima pembiayaannya menerusi program Graduate Executive Marketer for Simpan SSPNPlus (GEMS) dengan menyediakan modul latihan keusahawanan secara komprehensif.

Program yang juga Inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) KPT-CAP (Career Advancement Programme) adalah di antara usaha kerajaan menangani cabaran kebolehpasaran graduan dan mengurangkan pengangguran akibat wabak COVID-19.

GEMS turut dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan program ini ditawarkan kepada peminjam PTPTN yang bergraduat dalam bidang Sastera bagi tahun 2019 dan 2020.

Dalam kenyataannya, PTPTN berkata, modul latihan yang diberikan melalui program ini dapat membantu peminjamnya mempraktikkan ilmu keusahawanan, sekali gus berupaya menjana pendapatan sendiri.

Peserta program akan diberikan latihan komprehensif secara dalam talian oleh pensyarah UMK selama 16 hari sebelum memasarkan produk Simpan SSPN Plus, di samping mereka juga akan diselia oleh seorang mentor yang terdiri daripada pegawai PTPTN.

Dalam pada itu, modul latihan akan diberikan kepada peserta dan setiap yang berjaya akan menerima elaun bulanan untuk tempoh 12 bulan.

Antara kelebihan yang bakal diperoleh peserta program GEMS adalah elaun bulanan sepanjang tempoh 12 bulan, perlindungan takaful berkelompok percuma (untuk tempoh 12 bulan) selain berpeluang menerima komisen atas jualan produk yang berjaya dan tanpa modal perniagaan serta waktu kerja fleksibel.

Selain itu, terdapat sokongan pemasaran berterusan melalui latihan dan bimbingan, sijil boleh digunakan bagi memohon pengecualian jam kredit (microcredential) untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana di UMK, pasaran luas tanpa sempadan, tidak membabitkan transaksi tunai dan produk simpan SSPN Plus memang dikenali serta patuh syariah.

PTPTN sudah mengenalpasti peminjam yang layak sebagai peserta GEMS berdasarkan syarat yang ditetapkan dan mereka akan menerima tawaran menerusi e-mel mulai 1 Jun dan perlu mengemas kini maklumat diri serta menjalani ujian psikometrik selewat-lewatnya 19 Jun 2022.

Peminjam yang bergraduat dalam bidang Sastera tahun 2019 dan 2020 tetapi tidak menerima tawaran melalui e-mel, boleh membuat semakan kelayakan di https://www.ptptn.gov.my/program-gems/ mulai 1 Jun 2022 sehingga 19 Jun 2022.

PTPTN berharap program ini dapat memberi ruang dan peluang kepada peminjam PTPTN untuk terus maju, berdaya saing dan mempunyai pendapatan yangbaik ketika berdepan dengan kesukaran ekonomi ketika ini.

Katanya, usaha PTPTN ini bukan sahaja dapat menjana pendapatan, malah mampu meningkatkan ilmu literasi kewangan serta kesedaran penabungan dalam kalangan graduan peminjam.

Catat Ulasan

0 Ulasan