Touch 'N Go Ewallet beri baucar daftar ePemula

 


Touch 'n Go Group (TNG) melalui Touch 'n Go eWallet dipilih untuk mengambil bahagian dalam ePemula, inisiatif oleh Kementerian Kewangan dalam mempromosikan perbelanjaan tanpa tunai dalam kalangan belia dengan meringankan beban mereka serta menggalakkan perniagaan luar talian untuk ke arah tanpa tunai.

Pembekal penyelesaian pembayaran elektronik itu berkata, belia Malaysia yang berusia 18 hingga 20 tahun termasuk pelajar-pelajar Malaysia sepenuh masa di institusi pengajian tinggi Malaysia berhak menuntut kredit ePemula RM150 dan Touch 'N Go Ewallet pula memberi ganjaran berbentuk baucar RM200 daripada peniaga yang menjadi rakan kongsinya.

"Baucar itu merangkumi 25 jenama termasuk dalam talian, runcit, makanan dan minuman, telekomunikasi serta pengangkutan seperti Starbucks, 7-Eleven, Lazada, Tealive, MR D I Y, Uniqlo, Hotlink, Firefly dan banyak lagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini

Katanya, eWallet itu mempunyai rangkaian lebih daripada 17 juta pengguna dan 1.7 juta titik penerimaan peniaga.

"Kami mempunyai rangkaian peniaga runcit fizikal yang terbesar, yang mana belia serta pelajar boleh menggunakan kredit yang dituntut di kedai buku untuk keperluan pengajian mereka, gerai nasi lemak bagi sarapan, membayar teh tarik dan roti canai semasa bersosial dengan rakan di restoran mamak atau mendapatkan pakaian baharu dari Uniqlo serta menikmati juadah di McDonald's," kata Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Alan Ni.

Ditubuhkan oleh Touch 'N Go Sdn Bhd dan Ant Group, syarikat induk platform pembayaran digital terbesar di China, TNG Digital pula adalah pemilik dan pengendali Touch' n Go eWallet.

ePemula, yang bermula hari ini sehingga 1 Jun menawarkan kredit yang hanya boleh digunakan untuk pembelian runcit dalam kedai dan mesti digunakan sebelum 10 Jun 2022.

Kredit itu tidak boleh dipindahmilik ke akaun eWallet lain dan tidak boleh dipakai untuk sebarang aplikasi transaksi bersepadu termasuk e-dagang, pembelian dalam talian, pembayaran bil, prabayar mudah alih, pembelian permainan, produk dan perkhidmatan kewangan, PayDirect, RFID serta pengeluaran tunai.

Sumber dari BERNAMA

Catat Ulasan

0 Ulasan