Jumaat, 22 April 2022

, ,

Penjaga dan pelawat boleh menemani pesakit mulai 23 April 2022

 


Kementerian Kesihatan (KKM) membenarkan penjaga menemani pesakit di wad dan menerima pelawat, bermula Sabtu ini, 23 April 2022.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kelonggaran itu berdasarkan kriteria tertentu.

Beliau berkata, tatacara perlaksanaan kebenaran itu tertakluk kepada kapasiti dan kemampuan hospital serta wad.

Katanya, dasar dan garis panduan yang diguna-pakai dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan di kemudahan kesihatan KKM semasa pandemik COVID-19 sentiasa disemak dan dikemas kini berdasarkan perkembangan terkini, jangkitan wabak di dalam dan luar negara.

"Berdasarkan analisis trend terkini kes COVID-19 kategori 3, 4 dan 5 dan kadar penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes COVID-19 yang rendah, KKM meneliti semula dan mengemas kini dasar lawatan untuk penjaga dan pelawat di hospital.

"Langkah ini diambil selepas mengambil kira kepentingan sokongan psikososial, terutamanya daripada ahli keluarga pesakit dalam membantu proses penyembuhan pesakit," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, secara umum pelawat atau penjaga yang dibenarkan untuk melawat dan menemani pesakit perlu berusia 12 tahun dan ke atas; sudah dilengkapi pelalian COVID-19; serta tidak tergolong dalam kumpulan yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19, seperti mempunyai pelbagai komorbiditi atau sistem imuniti yang lemah.

Beliau berkata, bagi penjaga kepada kategori pesakit tertentu yang perlu menjalani ujian RTK-Ag kendiri, ujian perlu dijalankan dalam tempoh 24 jam, sebelum ketibaan ke hospital dengan tarikh dan masa ujian berserta gambar dinyatakan sebagai bukti.

"Mereka juga tidak disyaki menghidapi COVID-19 atau individu dalam pemantauan (PUS) atau bergejala COVID-19.

"Individu terbabit juga perlu mengisi borang deklarasi COVID-19 serta mematuhi SOP dan memakai alat pelindung diri (PPE) seperti yang ditetapkan," katanya.

Selain kriteria umum, KKM turut menetapkan kriteria khusus yang perlu dipatuhi mengikut kategori pesakit yang dilawati, iaitu pesakit terbabit bukanlah pesakit COVID-19.

Beliau berkata, penjaga pesakit bukan COVID-19 yang berada di wad serta individu yang ingin menemani ibu hamil semasa proses bersalin, perlu menjalani ujian saringan COVID-19, iaitu RTK-Ag kendiri dan disahkan negatif;

Katanya, lawatan ahli keluarga kepada pesakit bukan COVID-19 yang berada sama ada di wad, unit rawatan rapi (ICU) atau sedang tenat juga dibenarkan, terhad kepada dua pelawat pada satu-satu masa.

Mereka juga digalakkan untuk menjalani ujian COVID-19 menggunakan RTK-Ag kendiri, sebelum melawat.

Selain itu, KKM hanya membenarkan seorang penjaga, bagi pesakit bukan COVID-19 yang menerima rawatan pesakit luar atau di jabatan kecemasan serta mereka digalakkan menjalani ujian.

COVID-19 menggunakan RTK-Ag kendiri, sebelum hadir ke kemudahan kesihatan.
KKM hanya membenarkan penjaga untuk pesakit COVID-19 yang memerlukan penjagaan khusus dan pesakit kanak-kanak saja.

"Bagi tujuan itu, penjaga perlu menjalani ujian RTK-Ag kendiri dan disahkan negatif. Ujian RTK-Ag kendiri perlu diulang sekiranya penjaga bergejala dan sebelum pulang ke rumah.

"Tiada pelawat dibenarkan bagi pesakit COVID-19, kecuali bagi pesakit yang sedang tenat sama ada di wad atau di ICU dengan kebenaran hanya dua pelawat pada satu-satu masa dan ujian COVID-19 menggunakan RTK-Ag kendiri, digalakkan sebelum lawatan.

"KKM ingin menekankan dalam keadaan tertentu, iaitu risiko penularan COVID-19 tinggi seperti berlakunya wabak COVID-19 di hospital, hospital boleh melakukan beberapa pengubahsuaian kepada dasar yang sedia ada, bagi memastikan kesihatan dan keselamatan semua pihak," katanya.

Sumber dari Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.