Pendeposit TH dinasihat hati-hati dengan panggilan telefon palsu

 


Semua pendeposit Tabung Haji (TH) dinasihat agar tidak mudah percaya dengan pihak tidak dikenali jika menerima panggilan telefon membabitkan transaksi pemindahan wang bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamad Ameen Abdul Wahab, menegaskan lembaga itu tidak pernah menghubungi mana-mana pendeposit bagi sebarang tujuan transaksi pemindahan wang.

Beliau berkata, pengeluaran tunai hanya boleh dibuat di kaunter TH melalui pengesahan identiti, manakala perbankan internet dikawal dengan kata laluan dan TAC serta pengeluaran melalui ATM bank rakan strategik TH dikawal dengan PIN.

"TH mengambil maklum kenyataan Polis Diraja Malaysia berkaitan taktik baharu sindiket 'Macau Scam', membabitkan pengeluaran wang daripada akaun pendeposit TH yang dihubungkan dengan akaun bank konvensional.

"Pengeluaran tunai daripada akaun TH juga tidak boleh dilakukan melalui platform THiJARI. Peraturan pengeluaran atau pindahan wang juga tidak boleh dilaksanakan melalui panggilan telefon.

"Arahan pindahan telegrafik di kaunter pula hanya boleh dibuat dari akaun TH ke akaun milik sendiri sahaja. Oleh itu, wang di dalam TH sememangnya selamat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Ameen berkata, TH juga menyarankan pendeposit sentiasa memastikan nama dan kata laluan akses kepada platform perbankan internet rakan strategik TH tidak dikongsikan dengan mana-mana pihak, bagi tujuan keselamatan.

Beliau berkata, pendeposit juga boleh mengehadkan jumlah pindahan harian melalui perbankan internet bank rakan strategik TH serta membuat semakan penyata akaun secara berkala melalui aplikasi THiJARI.

"TH menasihati orang ramai untuk tidak mendedahkan sebarang maklumat akaun mahupun maklumat peribadi dalam apa keadaan sekalipun kepada pihak yang tidak dikenali supaya tidak terpedaya dengan perangkap pihak tidak bertanggungjawab.

"TH komited untuk terus memberi peringatan dan nasihat berkaitan perkara ini kepada pendeposit di platform komunikasi rasmi TH.

Untuk sebarang nasihat atau pertanyaan lanjut, boleh berhubung dengan THCC di talian 03-62071919.

Sumber dari Berita Harian

Catat Ulasan

0 Ulasan