Latihan semula pegawai polis

 


Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkenalkan program kembali ke pusat latihan (back to training centre) untuk anggota dan pegawai bermasalah khususnya yang terbabit dalam isu integriti dan moral.

Program itu bertujuan memperkasa pegawai dan anggotanya bagi memastikan mereka tidak terbabit dalam isu integriti selain untuk memberi bimbingan dan sokongan kepada mereka.

Selain itu, modul integriti juga kini dimasukkan sebagai salah satu mata pelajaran wajib kepada semua pelatih Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) dalam usaha membimbing anggota menjauhi rasuah.

Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM, Datuk Zaini Jass, berkata modul atau pengisian utama bagi program terbabit atau dirujuk sebagai 'Back To Training Center' adalah penerapan nilai murni untuk menjaga imej pasukan itu.

Katanya, latihan itu disusun bagi memastikan pegawai serta anggota PDRM yang bermasalah, diberikan bimbingan dan sokongan dalam meneruskan tugas mereka, sekali gus mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

"Dalam usaha memulihkan dan memperkukuhkan integriti warga PDRM yang bermasalah, Jabatan Pengurusan juga sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dalam merangka program pemantapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu integriti dan moral anggota/pegawai polis yang sering menjadi perhatian masyarakat dan apa usaha diambil PDRM untuk menanganinya.

Zaini berkata, satu lagi usaha ke arah memperkasa integriti anggota pasukan adalah dengan memasukkan modul integriti sebagai satu mata pelajaran wajib kepada semua pelatih PLAK.

Katanya, sepanjang tempoh latihan PLAK selama enam bulan, sebanyak 58 jam tempoh pembelajaran diperuntukkan khusus bagi modul integriti.

Modul dan silibus integriti secara sisipan selama dua jam turut diterapkan dalam kursus lanjutan dilaksanakan di semua institusi latihan PDRM.

Semua inisiatif yang dinyatakan dibuat secara strategik menerusi Pelan Anti Rasuah PDRM 2020 hingga 2024 yang mensasarkan satu mekanisme kawalan dalaman ke arah pemantapan integriti warga PDRM.

Zaini berkata, setiap pegawai dan anggota polis juga diingatkan supaya sentiasa berhati-hati, mengawal tingkah laku dan menjalankan tugas dengan penuh integriti serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pasukan.

Katanya, PDRM sentiasa berhadapan dengan pelbagai bentuk cabaran yang memberi kesan kepada imej pasukan serta boleh menjejaskan prestasi, kredibiliti, akauntabiliti dan integriti pegawai serta anggota polis.

Kepesatan dunia digital dan media sosial masa kini turut memainkan peranan apabila isu salah laku mahupun tohmahan (terhadap pegawai, anggota PDRM) ditularkan secara meluas tanpa sempadan.

Mengikut laporan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman baru-baru ini, seramai 234 pegawai dan anggota polis yang didapati bersalah terbabit jenayah dan rasuah dijatuhkan hukuman sejak tahun 2016.

Jumlah itu membabitkan seramai 29 pegawai berpangkat Inspektor dan ke atas serta 205 anggota dari pelbagai pangkat.

Bekas Pengarah JIPS, Datuk Zamri Yahya dilaporkan berkata kebanyakan mereka dikenakan tindakan buang kerja, selain ada yang sedang menjalani hukuman.

Daripada jumlah itu, seramai 160 pegawai dan anggota terbabit dalam kes jenayah, manakala selebihnya didapati bersalah selepas terbabit kes rasuah.

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) pada 1 April lalu melaporkan menerima 6,099 aduan terhadap pelbagai agensi penguat kuasa, dengan pegawai PDRM adalah yang tertinggi sejak 10 tahun lalu.

Sementara itu, menyentuh perkara lain, Zaini memaklumkan, sebanyak 8,405 permohonan menjadi anggota polis pangkat konstabel gred YA1 diterima dari pemohon bukan Bumiputera sepanjang tahun lalu.

Berdasarkan sistem e-Pengambilan PDRM, permohonan yang diterima daripada kaum India untuk jawatan berkenaan pada tahun lalu adalah yang tertinggi dengan 6,330, manakala pemohon Cina pula seramai 1,102 orang.

Selebihnya atau 454 permohonan lagi membabitkan lain-lain bangsa. Bagi permohonan daripada Bumiputera untuk jawatan sama bagi tempoh sama, sebanyak 54,317 diterima dengan 51,295 adalah pemohon lelaki.

Sumber dari Berita Harian

Catat Ulasan

0 Ulasan