Cara berpuasa pesakit diabetes

 



Walaupun kebanyakan orang boleh berpuasa dengan mudah, namun bagi sesetengah individu yang menghidapi penyakit diabetes cara mereka berbeza.

Mungkin mereka bimbang mengenai risiko terhadap keadaan metabolik, walaupun Islam mengecualikan orang yang sakit atau mempunyai masalah kesihatan melakukannya, namun ramai yang mahu berpuasa.

Pengarah Perubatan Perniagaan Pemakanan (Nutrisi) Abbott di Malaysia pemakanan, Dr Nina Mazera Mohd Said, menegaskan justeru penting bagi penghidap diabetes memahami risiko komplikasi dan bagaimana mereka boleh menguruskannya dengan baik.

Ketika berpuasa individu tidak akan makan dan minum sepanjang 13 jam, lantas bagi penghidap diabetes mereka akan menghadapi risiko tertentu termasuk dehidrasi atau hipoglikemia sepanjang berpuasa dan hiperglisemia selepas berbuka puasa.

"Sebenarnya lebih baik sekiranya bagi pesakit diabetes ini sudah berjumpa doktor dan pakar diet enam hingga lapan minggu sebelum Ramadan untuk mendapatkan nasihat perubatan," katanya.

Dalam usaha menjalani ibadah puasa ini, beliau memberikan panduan bagi pesakit diabetes, iaitu:

1. Penilaian PraRamadan

Ini penting untuk memahami risiko yang berkaitan, mengenali sebarang komplikasi yang mungkin timbul ketika dan selepas puasa Ramadan serta cara menanganinya.

Doktor boleh menyemak sejarah perubatan, melakukan penilaian risiko, memberi nasihat tentang ubat dos dan rutin insulin dan akhirnya, menilai sama ada berpuasa selamat untuk mereka.

Selain itu, 'percubaan' berpuasa sebelum Ramadan ini membolehkan tubuh membiasakan diri dengan amalan itu dan mengenal pasti masalah yang mungkin timbul ketika berpuasa.

2. Masa makan, makan sahur dan berbuka puasa secara sederhana

Antara amalan yang biasa diketahui oleh umat Islam dan memang wajar dilakukan, iaitu dengan melambatkan waktu bersahur, manakala elok berbuka puasa secepat mungkin sebaik tiba masanya bagi mengelakkan kelewatan waktu serta mengambil makan yang tidak perlu.

3. Rancang untuk rendah indeks glisemik dan makanan tinggi serat

Ini bertujuan melepaskan tenaga secara perlahan. Justeru, elok mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk barli, kacang serta mempunyai makanan yang seimbang

Disyorkan merancang pelan pemakanan untuk membantu mengawal paras glukosa darah dan membolehkan kawalan glisemik yang lebih baik.

Untuk meningkatkan tahap glukosa darah dengan selamat selepas berpuasa, sebaiknya ambil dua hingga tiga biji kurma atau sepinggan kecil buah-buahan dan minum banyak air elak dehidrasi.

Ambil makanan tambahan sebagai sebahagian daripada hidangan sahur atau berbuka puasa untuk menggantikan satu atau dua snek

3. Pantau paras glukosa dengan kerap

Pemantauan glukosa darah yang kerap semasa berpuasa dan waktu tidak berpuasa adalah satu kemestian untuk menyesuaikan diri.

Ubat atau rawatan mengikut keperluan anda. Paras gula dalam darah perlu diuji terlebih dahulu ketika bersahur dan dua jam selepas iftar

Ini berguna untuk membantu mengenal pasti apabila berlaku tahap rendah atau tinggi. Dalam beberapa kes mungkin keadaan memerlukan mereka berbuka puasa.

Bagi penghidap diabetes, amat penting untuk mengetahui badan anda sama ada hipoglisemik atau hiperglisemik.

Ketahui bahawa anda boleh dikecualikan daripada berpuasa jika kesihatan tidak mengizinkan sehingga mendatangkan risiko penyakit.

4. Kekal aktif dengan menjalankan aktiviti fizikal intensiti ringan hingga sederhana

Bersenam mempunyai banyak faedah untuk penghidap diabetes kerana ia boleh menurunkan paras gula dalam darah sehingga 12 jam, selain membolehkan badan menggunakan insulin dengan lebih cekap.

Justeru, digalakkan melakukan senaman ringan atau sederhana sekurang-kurangnya 30 minit antara waktu berbuka puasa dan bersahur ikut waktu.

Aktiviti berjalan membeli-belah di bazar Ramadan atau menunaikan solat Tarawih setiap malam juga digalakkan.

Bagaimanapun, elakkan melakukan aktiviti fizikal yang berlebihan kerana ia boleh membawa kepada risiko hipoglikemia yang lebih tinggi atau dehidrasi, terutamanya sebelum iftar.

Perlu tahu mengenai pengurusan diabetes

Dr Nina Mazera berkata, puasa mungkin mencabar bagi penghidap diabetes dan mereka perlu bersabar dan memahami mengenai penyakit ini adalah sebahagian daripada pengurusan diabetes sepanjang Ramadan.

Individu yang berkeras untuk berpuasa selalunya melakukannya dengan baik di bawah pengawasan, dengan pematuhan yang baik.

"Tetapi jika keadaan tidak mengizinkan anda dinasihatkan untuk tidak melakukannya, ikuti nasihat doktor.

"Fahami bagaimana cara terbaik untuk mengamalkan pemantauan glukosa, pemakanan, senaman dan ubat-ubatan sebelum, semasa dan selepas berpuasa.

"Nikmati pengalaman Ramadan yang selamat dan bebas kebimbangan," katanya.

Sedia ubat mencukupi

Pensyarah Fakulti Farmasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Puncak Alam, Dr Nur Wahida Zulkifli, berkata sebagai pesakit diabetes wajar mengawal penyakit itu di samping menyediakan ubatan mencukupi sepanjang Ramadan.

Katanya, mereka perlu peka cara pengambilan ubat semasa puasa dan mendapatkan kaunseling mengenai cara pengambilan ubat kencing manis.

"Cara pengambilan ubat yang salah akan menyebabkan mengalami kesan sampingan seperti hiperglisemia atau hipoglisemia.

"Bagi pesakit kencing manis tegar ini adalah bulan paling unggul untuk mengawal dengan sebaiknya. Ini kerana, anda akan berpuasa sepanjang hari dan ketika berbuka puasa, jika dapat mengawal pengambilan makanan berkarbohidrat dan bergula, ia dapat mengawal kadar gula.

"Oleh itu, tetapkan azam untuk merendahkan kadar gula dalam darah pada Ramadan," katanya.

Pesakit diabetes digalakkan minum air sekurang-kurangnya dua hingga tiga liter air, jika makanan berminyak dan bergula, digalak gunakan konsep pinggan suku-suku separuh.

"Elakkan makanan tinggi gula seperti air manis, biskut dan lain-lain. Walaupun makan kuantiti sedikit, tetapi kerana kandungan gula tinggi ia menyumbang peningkatan kandungan gula dalam darah," katanya.

Waspada kesan sampingan

Pesakit perlu periksa kandungan kencing manis secara berkala dan teruskan ambil ubat, jika mengalami kesan seperti hipoglisemia (menggigil, kerisauan, berpeluh, kadar jantung yang cepat, pening dan kelaparan).

Jika mengalami hypoglisemia perlu berjumpa doktor untuk memeriksa semula ubat-ubatan sama ada dos ubat perlu dikurangkan atau sebagainya.

Justeru, sebagai pesakit diabetes anda perlu peka dan berwaspada kesan sampingan yang akan berlaku jika berpuasa.


Petikan dari Berita Harian

Catat Ulasan

0 Ulasan