Bagaimana rukyah 1 Syawal ditentukan?

 


Kriteria Imkanur-Rukyah penentuan awal bulan Syawal Kaedah rukyah adalah melihat hilal ketika matahari terbenam pada 29 haribulan Hijriah dengan mata kasar atau dengan bantuan alatan seperti teleskop dan teodolit. Kaedah ini dipakai untuk tujuan penentuan awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah di Malaysia. Menurut kaedah hisab (hakiki), bulan baru bermula apabila ijtimak berlaku sebelum waktu matahari terbenam tanpa mengambil kira sama ada hilal wujud atau tidak. Takwim Hijriah yang menggunakan konsep ini dinamakan Takwim Hijriah Hakiki. Jika kewujudan hilal selepas ijtimak dijadikan sebagai asas penentuan awal bulan, takwim ini dinamakan Takwim Hijriah Wujudul-hilal. Kaedah rukyah dan hisab berdasarkan kriteria Imkanur-rukyah (keboleh-nampakan) ialah penentuan masuknya awal bulan baru, apabila kedudukan hilal ketika matahari terbenam berada dalam keadaan yang memungkinkan kenampakannya. Kriteria lama (sebelum 1443H / 2022) bagi kenampakan anak bulan ialah ijtimak telah berlaku pada ‘hari rukyah’ (29 haribulan) sebelum matahari terbenam dan hilal dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi salah satu syarat-syarat berikut: a. Anak bulan berada pada ketinggian tidak kurang dari 2 darjah (2°) di ufuk barat ketika matahari terbenam. b. Jarak lengkung anak bulan ke matahari ketika matahari terbenam tidak kurang dari 3 darjah (3°). c. Umur anak bulan ketika bulan terbenam pada hari rukyah tidak kurang dari 8 jam selepas ijtimak berlaku.

Kriteria baharu (pada 1443H / 2022) yang dimaklumkan kepada saya ialah:

Ketika matahari terbenam,
1) altitud (tinggi dari ufuk) bulan tidak kurang 3°, DAN
2) jarak lengkung (elongasi) bulan ke matahari tidak kurang 6.4°.
Tiada lagi syarat umur kerana tidak signifikan. Data di atas adalah dari Jabatan Mufti Negeri Selangor. Ia dikeluarkan oleh pihak JUPEM. Altitud bulan dari ufuk : 5 darjah Jarak lengkung anak bulan ke matahari : 5 darjah Ijtimak (bulan baru) : 04.28 (4.28 pagi) Matahari terbenam : 19.21 (7.21 petang) Bulan terbenam : 19.47 (7.47 petang) Umur bulan ketika terbenam : 15 jam Daripada data di atas: a. Anak bulan berada pada ketinggian 5 darjah, melebihi syarat minimum. b. Jarak lengkung anak bulan pada 5 darjah, kurang dari 6.4° syarat minimum. Berdasarkan data tersebut, peluang untuk hilal kelihatan dengan mata kasar sangat rendah kerana salah satu syarat di atas tidak dipenuhi. Jika cuaca kurang baik atau berawan, ia mungkin tidak kelihatan memandangkan keadaan langit di Malaysia yang berawan berbeza dengan Mekkah. Jika hilal tak nampak? Jawatankuasa Melihat Anak Bulan akan menentukannya pada malam itu juga samaada meneruskan puasa 30 hari atau mengisytiharkan hari raya. Biasanya lebih condong kepada genap 30 hari. Untuk rekod, Malaysia masih menggunapakai penentuan melalui rukyah (lihat) dan hisab (pengiraan).

Catat Ulasan

0 Ulasan