Sindrom air mata buaya punca lelaki China ‘menangis’ setiap kali makan

 

Seorang lelaki China baru-baru ini disahkan menghidap ‘sindrom air mata buaya’ iaitu keadaan jarang berlaku yang menyebabkan seseorang mengalirkan air mata setiap kali makan, lapor laman berita Oddity Central semalam.

Tahun lalu, seorang lelaki tua yang dikenali hanya sebagai Zhang oleh media China dilaporkan menitiskan air mata apabila dia makan.

‘Tangisan’ itu menjadi lebih teruk apabila Zhang perlu mengunyah makanan dengan lebih lama. Perkara itu mengganggu kehidupan sosialnya apabila dia mengelak daripada makan di khalayak ramai kerana takut dipulaukan.

Setelah menjalani pemeriksaan di hospital di Wuhan, Zhang disahkan menghidap penyakit yang jarang dikesan iaitu ‘sindrom air mata buaya’. 

Ketua Jabatan Oftalmologi di hospital berkenaan, Dr. Cheng Mian Chinh menjelaskan bahawa keadaan itu berkait rapat dengan kelumpuhan pada muka yang dialami Zhang sebelum ini.

Proses memulihkan muka Zhang yang lumpuh telah menjejaskan aktiviti kelenjar lakrimal (kelenjar yang mengeluarkan air mata) terutamanya pada mata kirinya. 

Semasa rawatan, urat saraf mukanya menjadi tersasar dan saluran air liur telah menyelubungi kelenjar lakrimal dan bukannya submandibular (kelenjar air liur). Kesannya, rangsangan bau atau rasa terhadap makanan telah menghasilkan air mata dan bukannya air liur.

Kebanyakan kes ringan akan diatasi dengan kaunseling dan pemantauan berkala. Dalam kes yang lebih teruk, rawatan paling kerap dilakukan adalah dengan suntikan toksin botulium yang dijangka bertahan selama enam bulan.

Pembedahan juga boleh dilakukan dan ia menjadi pilihan lelaki China itu. Dalam kes Zhang, keadaanya bertambah baik dan sumber tidak mendedahkan jika rawatan itu kekal atau tidak. 

Sumber dari Berita Agensi

 
 

Catat Ulasan

0 Ulasan