Khamis, 3 Mac 2022

,

Setengah juta jawatan kosong diiklan pada 2021

 

Jumlah kekosongan jawatan yang diiklankan dalam talian meningkat lebih dua kali ganda sepanjang tahun lalu kepada 536,636, berbanding 221,384 jawatan pada 2020, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pada suku keempat lalu, bilangan kekosongan jawatan yang diiklankan secara dalam talian berjumlah 190,436, meningkat 143.2 peratus daripada 78,303 yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Beliau berkata, peningkatan kekosongan jawatan yang diiklankan dalam talian pada suku ketiga dan keempat 2021 terutaman perkhidmatan dan pembuatan, memberi gambaran yang positif dalam perkembangan ekonomi negara yang mula bergerak dengan lebih pantas.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan perbandingan suku tahunan, jumlah berkenaan menurun sedikit daripada 192,480 jawatan yang diiklankan pada suku ketiga 2021.

"Pada asas bulanan, bilangan jawatan kosong dalam talian yang diiklankan adalah tertinggi pada Disember iait 76,193, manakala Oktober dan November masing-masing berjumlah 73,230 dan 41,013 jawatan.

"Ini digambarkan oleh usaha syarikat untuk menambah pekerja mereka bagi memenuhi permintaan pasaran terhadap barangan dan perkhidmatan yang semakin berkembang.

"Perkembangan permintaan terhadap tenaga kerja ini juga adalah selaras dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bertujuan mengurangkan impak pandemik dan seterusnya memulihkan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan laporan statistik Analisis Data Raya Job Market Insights dan My Job Profile: Lanskap Penawaran Pekerjaan di Malaysia, bagi suku ketiga dan keempat 2021 yang diterbitkan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, kebanyakan pekerjaan yang ditawarkan dalam talian pada suku keempat 2021 adalah untuk pekerja kategori profesional (43.1 peratus) dan diikuti oleh pekerja kategori juruteknik dan profesional bersekutu (18.4 peratus) serta pengurus (12.6 peratus).

"Mengikut susunan, lima pekerjaan paling popular yang ditawarkan semasa tempoh kajian ialah profesional pengiklanan dan pemasaran, profesional bersekutu pentadbiran, Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif, akauntan dan juruaudit serta pembangun perisian," katanya.

Dari perspektif sektor ekonomi pula, beliau menjelaskan, perkhidmatan dan embuatan adalah yang paling banyak menawarkan pekerjaan pada suku keempat 2021.

Mohd Uzir berkata, pada suku keempat 2021, lima pekerjaan paling banyak ditawarkan berkaitan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) yang diperlukan oleh majikan ialah juruteknik, pereka grafik, jurutera perisian, pengurus projek dan penyelia tapak.

"Dari segi kategori Teknikal, Pendidikan Vokasional dan Latihan (TVET), profesional pengiklanan dan pemasaran, profesional bersekutu pentadbiran, pembangun perisian, profesional pentadbiran dan kerani am pejabat adalah lima pekerjaan tertinggi yang ditawarkan pada suku keempat 2021," katanya.

Beliau menambah, pekerjaan berkaitan digitalisasi seperti ahli sains data, profesional pemasaran digital dan media sosial menunjukkan peningkatan ketara pada suku ketiga dan keempat 2021.

"Pekerjaan seperti eksekutif media sosial dan ahli sains data turut menunjukkan peningkatan iaitu masing-masing mencatatkan 324 dan 128 jawatan diiklankan pada suku keempat 2021 berbanding 236 dan 79 bagi suku tahunan yang sama pada tahun sebelumnya.

"Walaupun masih belum menjadi pekerjaan paling popular, ia boleh dikatakan antara pekerjaan yang berkembang pesat dalam permintaan pasaran," katanya.

Hampir tiga perempat daripada jumlah iklan pekerjaan dalam talian tertumpu di Kuala Lumpur (80,478), Selangor (34,050), Johor (14,470), Pulau Pinang (8,221) dan Melaka (3,668).

Sumber dari Berita Harian

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.