Operasi Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) di Kenyir dekat Hulu Terengganu ditutup sementara bermula Ahad lalu berikutan menara penghantaran voltan tinggi yang menyalurkan bekalan elektrik dari SJSM kepada Grid Nasional tumbang akibat kejadian tanah runtuh.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir Baharin Din, berkata hujan lebat luar biasa yang berterusan sejak Jumaat lalu mengakibatkan kejadian tanah runtuh yang memutuskan akses jalan keluar masuk ke SJSM pada jam 4 pagi Ahad lalu.
"Aliran mendapan yang membanjiri kawasan stesen itu seterusnya mengalir ke Sungai Terengganu. Enam jam kemudian, berlaku satu lagi tanah runtuh yang menyebabkan sebuah jambatan dan menara penghantaran 132kV runtuh.
"Susulan itu, TNB segera menghentikan operasi SJSM dan mengeluarkan semua warga kerja SJSM dari stesen itu dengan selamat," katanya dalam kenyataan.
Baharin berkata, TNB sudah mengaktifkan Pelan Kesinambungan Bisnesnya (pelan tindakan kecemasan) sebaik kejadian tanah runtuh itu berlaku bagi mengambil tindakan serta-merta bagi menangani situasi itu termasuk penyelarasan dengan pihak berkepentingan, agensi kerajaan dan jabatan lain di TNB.
"Langkah lain yang diambil termasuk membabitkan penilaian impak kejadian kepada struktur empangan dan pelaksanaan langkah pemulihan bagi mengembalikan operasi SJSM.
"Penilaian awal mendapati integriti struktur empangan kekal kukuh dan selamat, malah keadaan di sekitar Tasik Kenyir juga dijamin selamat.
"TNB juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memantau keadaan cerun, selain mendapatkan khidmat pakar perunding luar untuk membuat penilaian terperinci integriti empangan," katanya.
Baharin berkata, kerja baik pulih ini dijangka mengambil masa hampir enam bulan kerana ia juga merangkumi kerja membersihkan semua halangan dan kelodak banjir, meminimumkan kesan hakisan dan mengelak kemungkinan hakisan lanjut serta selenggaraan pada peralatan dan aset penjanaan.
"Langkah wajar bagi memastikan keselamatan stesen berada dalam keadaan terkawal juga sudah diambil.
"Sepanjang penutupan sementara SJSM dengan kapasiti 400 megawatt ini, TNB memberi jaminan bekalan elektrik kepada pengguna di Pantai Timur tidak akan terjejas kerana ia boleh ditampung melalui sumber penjanaan lain yang disalurkan menerusi sistem Grid Nasional," katanya.
Sumber dari BERNAMA
Tiada ulasan
Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.