Misteri mumia ikan duyung

 

Sekumpulan saintis  Jepun akan mengkaji satu mumia ‘ikan duyung’ yang ditemui sekitar tahun 1736 hingga  1741 di  luar Pulau Shikoku, Lautan Pasifik,  lapor akhbar Metro UK.

Mumia makhluk misteri yang mempunyai wajah menyerupai  manusia dan ekor seperti ikan itu menyebabkan pakar-pakar keliru selama beberapa abad.

Kedua-dua tangan makhluk itu berada dalam keadaan memegang wajahnya, selain rambutnya juga masih boleh dilihat serta terdapat gigi yang tajam.

Pasukan penyelidik dari Universiti Sains dan Seni Kurashiki telah melakukan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT) bagi mendedahkan misteri makhluk itu.

Menurut seorang penyelidik, Hiroshi Kinoshita, mumia yang kini disimpan di sebuah tokong di bandar Asakuchi itu dipercayai berkemungkinan mempunyai kepentingan dari sudut agama.

“Ikan duyung Jepun mempunyai legenda keabadian. Masyarakat percaya sekiranya seseorang itu makan daging ikan duyung, dia tidak akan mati.

“Beberapa legenda di Jepun menyatakan bahawa terdapat seorang wanita yang memakan daging ikan duyung, dan dia mampu hidup selama 800 tahun,” kata Kinoshita.

Sementara itu, mumia tersebut turut disimpan bersama sepucuk surat bertarikh tahun 1903 yang ditulis oleh pemilik terdahulu untuk memberitahu mengenai latar belakang penemuan makhluk tersebut.

“Seekor ikan duyung telah ditangkap menggunakan jala ikan di laut wilayah Kochi. Nelayan yang menangkapnya tidak mengetahui bahawa ia adalah seekor duyung bahkan membawanya ke Osaka untuk dijual sebagai ikan biasa.

“Nenek moyang saya telah membeli ikan itu dan menyimpannya sebagai khazanah milik keluarga,” kata surat tersebut. 

Sumber dari Berita Agensi 

 

Catat Ulasan

0 Ulasan