CTOS sedia maklumat kredit, tidak senarai hitam individu

 

CTOS Data Systems Sdn Bhd menegaskan bahawa pihaknya menyatukan dan menyediakan maklumat kredit mengenai tingkah laku pembayaran pengguna, yang diperoleh daripada sumber data awam dan proprietari serta pelanggannya untuk pemberi pinjaman dan pemberi kredit. 

Ketua Pegawai Eksekutif CTOS, Eric Chin menegaskan justeru, sebagai antara lapan agensi pelaporan kredit swasta, ia tidak menyenaraihitamkan mana-mana pihak.

"Kami tidak mengeluarkan sebarang keputusan, sebaliknya menunjukkan dengan tepat bagaimana pengguna menguruskan kredit mereka.

"Keputusan mengenai permohonan kredit dibuat secara eksklusif oleh pemberi pinjaman dan pemberi kredit itu sendiri, mengikut minat risiko, dasar dan strategi perniagaan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Yayasan My First Home, Tan Sri Vincent Tan semasa pelancaran yayasan itu bahawa kira-kira separuh daripada kalangan mereka yang mahu membeli rumah kos rendah gagal memperoleh pembiayaan.

Portal berita melaporkan Tan sebagai berkata, ini disebabkan penarafan kredit yang lemah dan disenaraihitamkan oleh agensi kredit seperti CTOS dan pemberi pinjaman lain kerana tidak membayar jumlah belum bayar kepada syarikat kad kredit, sewa beli dan pelan pembayaran ansuran lain.

Beliau juga dipetik sebagai berkata peminjam turut disenaraihitamkan dan diklasifikasikan sebagai tidak mempunyai kepercayaan kredit walaupun jumlah tertunggak dan terhutang adalah agak kecil.

Eric berkata sebagai agensi pelaporan kredit utama di Malaysia, CTOS komited dalam melaksanakan sebahagian usahanya membantu individu dan perniagaan memperoleh kredit.

Pihaknya juga komited untuk terbabit dalam dialog atau perbincangan dengan semua pihak berkepentingan termasuk pengawalseliaan dan pihak media, dengan tujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan agensi pelaporan kredit dan sumbangan positifnya kepada ekonomi negara.

CTOS telah mengadakan lebih 350 pameran bergerak pendidikan kewangan dan webinar di seluruh negara dengan kerjasama antaranya Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit. 

Sumber dari Bernama

 

 

 

Catat Ulasan

0 Ulasan