Kemudahan pembiayaan PKS RM2 bilion dibuka 3 Februari 2022

 

Bank Negara Malaysia (BNM) akan memperkenalkan dua kemudahan baharu di bawah Dana BNM bernilai RM2 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dibuka untuk permohonan mulai 3 Februari ini.

Menurut BNM, pertama ialah Kemudahan Permodalan Semula Perniagaan (Business Recapitalisation Facility, BRF) berjumlah RM1 bilion, bertujuan menyokong PKS untuk pulih dan berkembang, di samping menguruskan tahap keberhutangan mereka melalui penyelesaian pembiayaan yang inovatif.

“Di bawah BRF, PKS boleh mendapatkan pembiayaan ekuiti melalui terbitan saham keutamaan, saham biasa, atau sebarang instrumen mirip ekuiti yang sesuai; atau gabungan antara pembiayaan hutang daripada institusi kewangan peserta (IKP) dan pembiayaan ekuiti melalui pembiaya ekuiti pihak ketiga (kewangan campuran).

“BRF tersedia untuk PKS daripada semua sektor ekonomi, sehingga maksimum RM5 juta bagi membiayai modal kerja dan/atau perbelanjaan modal, dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, penyelesaian pembiayaan yang lebih inovatif seperti kewangan campuran dan pembiayaan ekuiti, menggabungkan sumber, kapasiti dan pengetahuan merentas sektor awam dan swasta termasuk bank, institusi kewangan pembangunan dan pelabur ekuiti.

“Ia bagi membantu perniagaan bangkit semula dengan lebih baik dalam landskap selepas pandemik,” jelasnya.

Sementara itu, kemudahan kedua ialah Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (Low Carbon Transition Facility, LCTF), juga berjumlah RM1 bilion yang menyokong dan
menggalakkan PKS untuk menerapkan amalan kelestarian bagi meningkatkan daya tahan perniagaan.

“Di bawah kemudahan ini, institusi kewangan akan menyediakan dana padanan sebanyak RM1 bilion daripada dana mereka sendiri.

“Kemudahan ini adalah selaras dengan matlamat Kerajaan untuk mencapai sasaran ekonomi pelepasan karbon sifar bersih (net-zero emission) pada tahun 2050,” ujar BNM.

Butiran mengenai Dana BNM untuk PKS boleh didapati di bnm.gov.my/sme-financing 

 

 

 

 

Catat Ulasan

0 Ulasan