ASNB perkenal ciri e-KYC untuk Buka Akaun

 

 

Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) melancarkan kemudahan pendaftaran akaun dalam talian dan ciri 'onboarding' pelanggan digital (e-KYC) serta fungsi pelaburan berasaskan matlamat dalam aplikasi mudah alih myASNB.

Seiring dengan penambahbaikan aplikasi itu, ASNB juga melancarkan kempen #JomLabur yang akan berlangsung sehingga akhir 2021 dan menawarkan peluang kepada semua pemegang unit untuk memenangi hadiah bernilai sehingga RM200,000.

Ciri 'onboarding' mudah alih baharu ini membolehkan warga Malaysia membuka akaun melalui aplikasi myASNB tanpa perlu berkunjung ke cawangan atau ejen ASNB.

Pelanggan ASNB sedia ada juga kini boleh membuka akaun atau mengemas kini butiran peribadi secara terus di portal dan aplikasi mudah alih myASNB. 

Ini membolehkan mereka untuk memulakan pelaburan dari keselesaan rumah sendiri.

PNB berkata, penambahbaikan terhadap aplikasi myASNB ini bertujuan melancarkan dan memudahkan aktiviti pelaburan semua warga Malaysia dalam usaha mencapai matlamat kewangan mereka dan ia sebahagian daripada Strategi Pendigitalan ASNB.

Fungsi pelaburan baharu yang berasaskan matlamat, Target Labur katanya telah direka untuk mendorong setiap individu mencapai matlamat kewangan mereka seperti membeli hartanah, menyimpan untuk persaraan, merancang percutian atau mengetepikan sejumlah dana untuk pendidikan.

Katanya, selain matlamat pelaburan yang telah ditetapkan, pemegang unit juga boleh menetapkan matlamat pelaburan mereka sendiri.

PNB turut menasihati pengguna aplikasi myASNB sedia ada supaya mengemas kini aplikasi agar dapat menggunakan fungsi baharu itu.

e-KYC (Kenali Pelanggan Anda secara elektronik) merupakan satu penyelesaian yang membolehkan institusi kewangan mengesahkan identiti pelanggan dan 'onboarding' pelanggan dalam talian, sekali gus dapat mengurangkan keperluan untuk interaksi sesama manusia.

Ciri e-KYC dalam aplikasi myASNB telah dibangunkan sejajar dengan keperluan yang dinyatakan dalam dokumen dasar eKYC Bank Negara Malaysia yang dikeluarkan pada 30 Jun 2020.

Kini sesiapa sahaja boleh membuka akaun ASNB atau mendaftar di portal dan aplikasi myASNB secara langsung melalui telefon mudah alih mereka.

https://www.asnb.com.my/


 

 

Catat Ulasan

0 Ulasan