Satelit MEASAT 3 dilaporkan hanyut dan hilang kawalan

 

Satelit Malaysia East Asia Sattelite (MEASAT-3) dilaporkan hanyut di orbit geopegun dan sudah tak terkawal. Dijangka akan terus hilang kawalan selamanya.
 
Satelit MEASAT-3 telah mula menghanyut keluar dari posisi pada 21 Jun lalu yang menyebabkan gangguan siaran pada Astro dan juga perkhidmatan jalur lebar luar bandar.
 
Menjelang 10 Julai, kedudukannya sudah berada di 86.4 darjah Timur dan semalam telah pun menghanyut lebih jauh lagi pada 84.69 darjah Timur. Menurut pakar, amat sukar sesebuah satelit untuk kembali pulih ke keadaan asal apabila sudah berada ke tahap hanyutan sejauh ini.
 
Satelit MEASAT-3 buatan Boeing yang dilancarkan pada Disember 2006 telah berusia 15 tahun dan dirancang akan digantikan dengan Satelit MEASAT 3D pada 2022. Ketiga-tiga satelit MEASAT iaitu MEASAT 3, MEASAT 3A dan MEASAT 3B ditempatkan di orbit 91.5 darjah Timur.
 
Untuk mengelakkan gangguan siaran, pihak Astro telah mengambil tindakan mengubah transponder dari MEASAT 3 ke dua lagi satelit MEASAT 3A dan MEASAT 3B yang berada di orbit yang sama.
 
MEASAT dan Astro walaupun syarikat bersekutu tetapi ia adalah dua entiti berbeza di mana MEASAT adalah pengendali satelit sementara Astro pula adalah penyedia siaran tv satelit. Astro menawarkan siaran tv satelit di Malaysia, Brunei dan Indonesia namun operasi di Indonesia terpaksa ditamatkan kerana faktor perundangan.
 
Sumber : spacenews.com

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.