Masih ramai peniaga belum daftar bantuan GKP

 

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro perlu mengambil peluang yang disediakan kerajaan seperti Geran Khas Prihatin 3.0 (GKP 3.0) untuk membantu meningkatkan kembali perniagaan pasca pandemik COVID-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata masih ramai peniaga mikro dan PKS belum mendaftar mendapatkan bantuan khas GKP walaupun ia sudah dimulakan sejak tahun lalu dan kini memasuki siri ketiga.

"Ketika lawatan turun padang Kementerian Kewangan (MOF) baru-baru ini, ramai yang mengunjungi kaunter sementara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendaftar dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai GKP 3.0.

"Saya ingin maklumkan, permohonan GKP 3.0 masih dibuka sehingga 15 April 2021. Mereka yang belum mendaftar bolehlah berbuat demikian segera," katanya.

Beliau berkata demikian dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-48, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, selain GKP 3.0, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut mengumumkan bahawa nilai ambang keterhutangan bagi syarikat yang dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM50,000, akan diteruskan berkuat kuasa 1 April lalu.

Beliau berkata, ini juga adalah berita gembira untuk peniaga seiring dengan inisiatif kesembilan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) untuk mengurangkan beban syarikat dan memperkasa koperasi.

Inisiatif ini, katanya, adalah susulan keadaan ekonomi global dan dalam negara yang mungkin mengambil masa lebih lama untuk pulih akibat pandemik COVID-19.

"Sebelum ini, inisiatif ini adalah langkah sementara bermula dari 23 April 2020 sehingga 31 Mac 2021 bagi memberikan perlindungan kepada syarikat dengan nilai ambang keterhutangan yang lebih tinggi daripada nilai sedia ada iaitu RM10,000 agar risiko syarikat dikenakan tindakan penggulungan dapat dikurangkan.

"Kesan pelaksanaan inisiatif itu menyaksikan hanya 665 petisyen penggulungan diserah simpan ke SSM bagi tempoh April hingga Disember lalu berbanding 1,760 pada 2019 dan 1,533 tahun sebelumnya," katanya.

Tengku Zafrul berkata, peningkatan nilai ambang keterhutangan syarikat dijangka akan terus dapat mengurangkan jumlah petisyen penggulungan.

Beliau berkata, syarikat juga mampu meneruskan urusan perniagaan dengan yakin serta masih mematuhi undang-undang berdasarkan pelepasan kekal nilai amaun keterhutangan yang diberikan.

Sumber : BH

 

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.